Kerajaan benar warga asing keluar Malaysia secara perjalanan sehala

Kerajaan benar warga asing keluar Malaysia secara perjalanan sehala

Kerajaan juga bersetuju membenarkan golongan ekspatriat yang berada di Malaysia keluar negara untuk urusan kecemasan atau perubatan.

Warganegara asing yang tiada dokumen perjalanan, tetapi mahu keluar Malaysia perlu terlebih dahulu mendapatkan dokumen perjalanan daripada kedutaan masing-masing.
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak menghalang mana-mana warganegara asing untuk keluar dari Malaysia, termasuk pulang ke negara asal mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaacob bagaimanapun berkata, setakat ini kebenaran keluar Malaysia hanya boleh dilakukan untuk perjalanan sehala sahaja.

“Kerajaan tidak akan menghalang mana-mana warganegara asing yang berhasrat untuk pulang ke negara asal dengan syarat perjalanan pulang adalah sehala sahaja (one-way).

“Bagi warganegara asing yang tiada dokumen perjalanan, mereka perlu terlebih dahulu mendapatkan dokumen perjalanan daripada kedutaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Khas Menteri mengenai perintah kawalan pergerakan (PKP) hari ini.

Ismail turut memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan golongan ekspatriat yang berada di Malaysia keluar negara.

Katanya, kebenaran itu hanya melibatkan urusan kecemasan atau perubatan sahaja.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, kerajaan juga tidak menghalang kru vesel warga asing untuk bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan bagi memastikan bekalan ikan negara mencukupi.

“Walau bagaimanapun, warganegara asing yang terlibat perlu mendapatkan kebenaran keluar negara daripada kerajaan masing-masing terlebih dahulu. Mereka perlu memohon permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan menjalani saringan Covid-19 serta kuarantin wajib 14 hari.

“Pihak majikan juga perlu menyediakan tempat tinggal bagi kru warganegara asing,” katanya.

53 individu ditahan ingkar PKPP

Dalam perkambangan lain, Ismail berkata, 53 individu ditahan kerana melanggar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam, termasuk kerana berkunjung ke kelab malam.

“Daripada jumlah ini, 8 individu direman dan 45 lagi dikenakan kompaun. Antara kesalahan ingkar PKPP, termasuk aktiviti karaoke atau pusat hiburan keluarga (1), aktiviti dalam pub atau kelab malam (45), refleksologi atau urut (3), aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (1) dan aktiviti lain yang melanggar SOP (3),” katanya,

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.