Institusi tahfiz perlu berdaftar permudah tangani Covid-19, salur peruntukan, kata menteri

Institusi tahfiz perlu berdaftar permudah tangani Covid-19, salur peruntukan, kata menteri

Kerajaan sebelum ini bersetuju membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz beroperasi semula.

Menteri di-Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pendaftaran institusi tahfiz akan memudahkan pematuhan piawaian standard, terutama dalam memerangi pandemik Covid-19.
BUTTERWORTH:
Semua institusi tahfiz di negara ini diminta segera berdaftar dengan jabatan atau Majlis Agama Islam negeri masing-masing bagi membolehkan institusi tersebut beroperasi semula secara bersama-sama pada masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pendaftaran itu juga penting bagi memudahkan penyaluran peruntukan daripada kerajaan.

“Saya mengesyorkan supaya mereka berdaftar kerana dalam keadaan kita berhadapan dengan pandemik Covid-19, kita tidak boleh guna cara lama lagi. Kita harus susun norma baru dengan baik demi keselamatan semua,” katanya kepada pemberita selepas majlis Taklimat Pembangunan Hartanah Wakaf di Pulau Pinang, sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pendaftaran juga memudahkan institusi terbabit mematuhi piawaian standard, terutama dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Sebab itu saya syorkan dan cubalah penuhi SOP supaya sama-sama kita bergerak berganding bahu dalam keadaan yang lebih tepat serta mengikut apa yang dihasratkan ketika kita cuba menamatkan rantaian Covid-19,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Mesyuarat Khas Menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bersetuju membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz beroperasi semula.

Sementara itu, Zulkifli berkata, keputusan mengenai cadangan mengadakan solat Jumaat 2 sesi dijangka diumumkan minggu depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.