4 tentera, 2 polis bantuan antara 8 ditahan curi lembu di Johor

4 tentera, 2 polis bantuan antara 8 ditahan curi lembu di Johor

Polis menerima laporan kecurian 23 ekor lembu menggunakan senapang patah yang dilaporkan hilang pada 16 Mei dan 24 Jun lalu.

Senapang patah dan peluru antara barang rampasan polis di 8 lokasi sekitar Kulai, Pontian, Skudai serta Johor Bahru pada Jumaat. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Lapan lelaki termasuk seorang pegawai dan 3 anggota tentera ditahan di beberapa lokasi sekitar negeri ini semalam dipercayai terbabit kes curi lembu menggunakan senapang patah di Kulai.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata 8 lelaki berusia 27 hingga 48 tahun itu turut terdiri daripada 2 polis bantuan, seorang pegawai awam dari Universiti Teknologi Malaysia serta seorang orang awam.

“Pihak polis mendapat laporan mengenai kes kecurian lembu menggunakan senapang patah melibatkan 23 ekor lembu yang dilaporkan hilang pada 16 Mei dan 24 Jun tahun ini.

“Susulan laporan tersebut, beberapa serbuan dibuat sekitar 1 pagi sehingga 7.30 pagi di 8 lokasi berasingan sekitar Kulai, Pontian, Skudai dan Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas selaras senapang patah, 76 peluru senapang patah, 2 kelongsong peluru senapang patah, sebuah motokar jenis Toyota Hilux UTM, 2 kapak, 4 pisau kecil, 4 mata pisau, 3 parang dan sebuah peti sejuk mengandungi 73 bungkusan plastik berisi daging lembu.

Pihaknya turut merampas sebiji batu asah, 3 lampu sorot, 5 gulung tali plastik pelbagai saiz, sebuah motosikal jenis Honda, 8 telefon bimbit, 2 lampu suluh kepala dan sebuah beg galas.

Ayob Khan berkata, semua suspek ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Mereka direman 3 hari bermula semalam sehingga Ahad ini.

Katanya, polis tidak akan bertolak ansur dan melindungi mana-mana agensi penguatkuasaan dan penjawat awam yang melanggar undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.