Respons proaktif kerajaan langkah tepat, kata Tengku Zafrul

Respons proaktif kerajaan langkah tepat, kata Tengku Zafrul

S&P Global Ratings menyemak semula unjuran A- Malaysia daripada stabil kepada negatif hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, wabak Covid-19 memberi kesan ke atas tahap penarafan banyak negara, termasuk Malaysia.
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, kerajaan percaya respons dasar kewangan semasanya “adalah langkah tepat” selepas S&P Global Ratings menyemak semula unjuran A- bagi Malaysia daripada stabil kepada negatif hari ini.

Agensi penarafan itu berkata, keputusan itu menggambarkan jangkaannya bahawa Malaysia berdepan risiko kemerosotan kedudukan kewangannya susulan krisis Covid-19 dalam tempoh 24 bulan akan datang.

Ia berkata, iklim ekonomi dunia yang lemah, ketidaktentuan dasar lebih menonjol, harga minyak yang tertekan dan rangsangan kewangan akan melemahkan kedudukan kewangan kerajaan dalam beberapa tahun akan datang.

Tengku Zafrul berkata, wujud keperluan mendesak bagi memastikan langkah rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi yang mencukupi dilaksanakan segera bagi melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.

Beliau berkata, wabak Covid-19 memberi kesan ke atas tahap penarafan banyak negara, sekali gus membayangkan cabaran besar dalam ekonomi dunia seperti prospek pertumbuhan lebih lemah, defisit kewangan lebih besar dan paras hutang lebih tinggi.

Negara dengan ekonomi terbuka seperti Malaysia katanya, telah bertindak balas dengan langkah ekonomi makro dan kewangan yang besar bagi mengurangkan kesan buruk wabak itu ke atas kesihatan dan ekonomi, justeru menyebabkan penarafan negara turut menurun.

Beliau berkata, walaupun semakan unjuran S&P lebih rendah, namun kerajaan percaya respons proaktifnya terhadap wabak Covid-19 melalui inisiatif dan langkah di bawah pakej rangsangan dan pemulihan bernilai RM295 bilion membantu menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan dan menyokong lebih 800,000 perniagaan dan PKS mikro.

Ini termasuklah pakej rangsangan eknomi Prihatin, Prihatin PKS Tambahan dan Penjana.

Secara kolektif, pakej terbabit dijangka menyumbang kepada 3% pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2020 dan tidak akan meninggalkan kesan berkekalan ke atas kewangan kerajaan dalam tempoh sederhana.

Ini katanya, disokong oleh unjuran optimistik berhubung ekonomi dalam laporan S&P yang menjangkakan pertumbuhan kukuh KDNK negara sebanyak 7.5% pada 2021.

Tengku Zafrul berkata, pengimbal modal sistem perbankan pada tahap RM121 bilion pada masa ini adalah 3 kali lebih besar daripada paras semasa krisis kewangan dunia sebelum ini.

Beliau berkata, tahap kecairan yang mencukupi, berserta kualiti asset yang kukuh dan kerangka pengurusan risiko yang mantap akan terus menyokong aktiviti pinjaman serta ekonomi secara keseluruhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.