Pesakit Covid-19 sedang dirawat kurang 200 kes

Pesakit Covid-19 sedang dirawat kurang 200 kes

Tiada kematian dilaporkan hari ini.

PUTRAJAYA:
Jumlah pesakit yang sedang dirawat kerana Covid-19 ketika ini kurang daripada 200 kes, ketika 6 kes baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan 191 pesakit Covid-19 masih dirawat di seluruh negara, dengan 2 daripadanya berada di unit rawatan rapi.

Tiada pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Sehingga kini, Malaysia merekodkan 8,606 kes Covid-19 dengan 8,294 daripadanya sembuh.

Hisham melaporkan daripada 6 kes baru itu, 5 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“1 kes penularan dalam negara melibatkan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media hari ini.

Seramai 23 pesakit dilaporkan pulih dan dibenarkan keluar wad. Jumlah kematian kekal 121 orang kerana tiada kematian dilaporkan.

Daripada 5 kes Import yang dilaporkan hari ini, 4 adalah warganegara Malaysia dan 1 bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke negara ini atas urusan kerja.

Manakala itu, 1 kes penularan dalam negara pula melibatkan warga tempatan, iaitu kes saringan di tempat kerja di Kuala Lumpur.

Noor Hisham turut memaklumkan negara juga mencatat jangkitan 1 angka selama 4 hari berturut-turut mulai 23 Jun lepas.

“Kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia adalah kurang daripada 5 kes untuk 6 hari berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata, negara juga tidak mencatatkan kematian baru selama 12 hari berturut-turut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.