Pandangan penganalisis bercampur-campur mengenai potensi pengurangan OPR

Pandangan penganalisis bercampur-campur mengenai potensi pengurangan OPR

Jawatankuasa dasar monetari BNM pada Mei mengurangkan OPR sebanyak 50 mata asas.

KUALA LUMPUR:
Penganalisis mempunyai pandangan yang bercampur-campur mengenai potensi pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) untuk baki 2020.

Jawatankuasa dasar monetari (MPC) Bank Negara (BNM) dijadual bermesyuarat pada 7 Julai untuk menyemak semula OPR, yang kini ditetapkan pada 2.0%.

Pada mesyuarat sebelum ini pada Mei, MPC mengurangkan OPR sebanyak 50 mata asas (bps) – pengurangan kadar kali ke-3 dan tertinggi, sebelum ini pengurangan sebanyak 25bps pada Januari dan Mac, serta mengurangkan keperluan rizab berkanun (SRR) sebanyak 100bps pada Mac.

Dalam nota hari ini, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata ia menjangka bank pusat akan mengekalkan OPR dan SRR, masing-masing sebanyak 2.0% dan 1.0%, untuk sepanjang tahun ini.

“Kami menjangka inflasi keseluruhan yang negatif pada April dan Mei 2020 akan menjadi jurang pada tahun ini dan deflasi bulanan akan berkurangan secara berperingkat sebelum inflasi kembali pada akhir 2020 atau awal 2021,” katanya.

BNM mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar 2020 antara -2.0% dan 0.5% serta kadar inflasi antara -1.5% dan 0.5%.

Affin Hwang Capital turut yakin bank pusat dijangka mengekalkan OPR pada 2.0% untuk tahun ini.

Katanya, permintaan domestik negara mula menunjukkan tanda-tanda pulih daripada pembukaan semula hampir semua perkhidmatan penting dan bukan penting sejak 4 Mei, disokong oleh langkah rangsangan dari aspek monetari dan dasar fiskal yang mengurangkan risiko penurunan kepada ekonomi.

“Berdasarkan risiko deflasi jangka pendek, kami mengunjurkan inflasi keseluruhan kepada purata 0.1% bagi 2020,” menurut Affin Hwang Capital dalam nota hari ini.

Sementara itu, Kenanga Research percaya terdapat banyak ruang untuk pengurangan OPR sebanyak 25bps lagi bagi menyokong langkah-langkah fiskal bawah pakej Prihatin dan Penjana, berdasarkan tekanan harga yang rendah dan pelonggaran monetari yang aktif oleh bank pusat di negara-negara maju.

Katanya, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan dari 10 Jun hingga 31 Ogos – yang membenarkan hampir semua aktiviti sosial, perniagaan dan keagamaan serta perjalanan rentas negeri dan pelancongan dalam negeri – dijangka memberikan sokongan.

“Bagaimanapun, deflasi dijangka terus menjejaskan keyakinan pengguna berikutan pengangguran yang meningkat dan kebimbangan mengenai gelombang ke-2 Covid-19,” menurut Kenanga Research.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.