
Bank itu juga menurunkan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dari 4.5% ke negatif 0.1% pada April akibat Covid-19 dan gangguan ke atas aktiviti ekonomi.
Dalam edisi terbaru laporan Malaysia Economic Monitor yang dikeluarkan hari ini, bank itu juga menjangka pertumbuhan akan pulih kepada kadar 6.9% pada 2021 apabila kesan wabak itu berkurang.
Ia bagaimanapun memberi amaran bahawa wabak tersebut berserta perubahan dalam dunia pekerjaan juga meningkatkan keperluan kepada sistem perlindungan sosial lebih baik di negara ini.
Bank Dunia menggesa sokongan sosial kepada isi rumah berpendapatan rendah diperluaskan, penambahbaikan dalam penyampaian program perlindungan sosial dan inisiatif pemulihan kerja lebih besar.
“Langkah perlindungan sosial diperlukan bagi membantu golongan berisiko berdepan ribut ekonomi semasa dan bersedia untuk realiti pasca wabak,” kata Firas Raad, wakil dan pengurus kumpulan Bank Dunia ke Malaysia.
“Melindungi kehidupan adalah penting bagi membantu mereka yang hilang pekerjaan dan perniagaan pulih dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia menurun dalam 3 suku tahun berturut-turut sebanyak 7.1% pada suku pertama 2020, iaitu penurunan paling besar sejak krisis kewangan dunia pada 2009.
Selain itu, penggunaan swasta jatuh 6.7% pada suku pertama tahun ini berbanding 8.1% pada suku ke-4 tahun lepas, yang menurut Bank Dunia menggambarkan kesan besar wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Pelaburan agregat mengecut untuk 5 suku berturut-turut, iaitu sebanyak 4.6% dalam suku pertama 2020, berbanding 0.7% pada suku ke-4 2019. Kedua-dua pelaburan awam dan swasta merosot.
Bank Dunia berkata, kerajaan bertindak balas terhadap kesan ekonomi wabak Covid-19 melalui 2 pakej rangsangan ekonomi Prihatin Rakyat pada Februari dan Mac dan rancangan pemulihan ekonomi Penjana awal bulan ini.
Sewaktu pemulihan ekonomi negara berjalan, Bank Dunia menjangka inisiatif pindahan tunai berikutnya kekal penting bagi menangani tekanan kewangan dalam kalangan kumpulan paling berisiko dalam masyarakat dan bagi menyokong penggunaan domestik serta pembangunan sumber manusia.