Rakan, teman wanita suspek utama seludup dadah guna dron ditahan

Rakan, teman wanita suspek utama seludup dadah guna dron ditahan

Suspek utama yang dikenali sebagai 'Boy Setan' dan rakannya merupakan ahli kongsi gelap 'Salakau' atau Geng 369 di Singapura.

Sebuah dron dan sebahagian dadah yang dirampas polis selepas mengesan aktiviti luar biasa dron di sekitar Taman Takungan Air Kranji pada 17 Jun lalu. (Gambar CNB)
JOHOR BAHRU:
Polis menahan seorang lelaki Singapura dan seorang wanita tempatan semalam dipercayai rakan dan teman wanita “Boy Setan”, iaitu suspek utama dalam kes penyeludupan dadah menggunakan dron ke Singapura.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata rakan “Boy Setan” yang berumur 41 tahun itu ditahan di sebuah kondominum di sini, manakala teman wanita berumur 23 tahun itu ditahan bersama “Boy Setan” di sebuah kondominium di Taman Mount Austin, di sini.

“Siasatan mendapati ‘Boy Setan’ dan rakannya itu positif dadah jenis methamphetamine dan kedua-duanya merupakan orang dikehendaki berkaitan kes jenayah dan dadah oleh pihak berkuasa Singapura,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, “Boy Setan” dan rakannya merupakan ahli kongsi gelap “Salakau” atau Geng 369 di Singapura dan hasil penahanan mereka, polis merampas 37 pil ecstasy dianggarkan 11.83g, syabu seberat 13.6g serta heroin seberat 2.4g yang semuanya dianggarkan bernilai RM2,590.

Beliau berkata, wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan negatif ujian dadah.

Katanya, ketiga-tiga mereka kini direman sehingga 7 Julai depan, dengan “Boy Setan” dan rakan senegaranya itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1951, manakala wanita itu mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Ramli Din mengesahkan “Boy Setan” yang berumur 40 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Johor hasil maklumat serta risikan.

Ayob Khan pada sidang media 2 hari lepas berkata, “Boy Setan” yang nama sebenarnya Mohamad Azli Ahmad Said, 40, turut dikehendaki pihak berkuasa Singapura kerana kesalahan berkaitan dadah.

Sabtu lalu, polis menahan 2 lelaki Singapura kerana menggunakan dron untuk menyeludup dadah dari Johor ke Singapura.

Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), data penerbangan yang diambil daripada telefon salah seorang suspek menunjukkan dron itu diterbangkan dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru, sebelum kembali semula ke Kranji.

Susulan maklumat itu, polis Singapura turut menahan seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.