Pendakwaan dibenar pinda tuduhan terhadap Najib, Arul Kanda dalam kes laporan audit 1MDB

Pendakwaan dibenar pinda tuduhan terhadap Najib, Arul Kanda dalam kes laporan audit 1MDB

Hakim membenarkan permohonan itu atas alasan pindaan pertuduhan itu tidak akan menimbulkan prasangka atau ketidakadilan terhadap salah seorang tertuduh.

Najib Razak (kiri) didakwa meminda laporan audit 1MDB dan Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan bekas perdana menteri itu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan pihak pendakwaan dalam kes laporan audit 1MDB Najib Razak untuk meminda pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu atas alasan pindaan itu tidak akan menimbulkan prasangka atau ketidakadilan terhadap salah seorang tertuduh.

“Walaupun pindaan ini menyebabkan ‘tiang gol’ dialihkan, ia masih akan kekal dalam padang.

“Pihak pembelaan masih boleh membuat ‘tendangan’. Saya di sini untuk memastikan mereka akan diberikan setiap peluang untuk membuat pembelaan mereka.”

Katanya, perbicaraan itu masih di peringkat awal dengan hanya 7 saksi pendakwaan dipanggil dan belum diperiksa balas peguam Muhammad Shafee Abdullah serta N Sivananthan sepenuhnya.

Dalam pindaan itu, pihak pendakwaan berhujah Najib meminda laporan akhir berkenaan sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Selepas pindaan itu dibenarkan, pertuduhan dibacakan semula kepada Najib dan Arul yang mengesahkan pengakuan tidak bersalah mereka.

Najib didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan beliau meminda laporan audit 1MDB antara 22 hingga 26 Februari 2016, manakala Arul pula didakwa bersubahat dengannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah hari ini yang kes pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di mana Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang.

“Kami kata ia adalah tindakan yang diarahkan tertuduh dengan niat jenayah.

“Dalam kedua-dua laporan audit yang kami serahkan, kandungan itu jelas menyatakan ia adalah laporan akhir,” katanya merujuk 2 salinan laporan audit 1MDB yang disiarkan sebelum dan selepas pertemuan pegawai kerajaan pada 24 Feb 2016.

Sepanjang perbicaraan, saksi termasuk bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa, bekas ketua audit negara, Ambrin Buang dan bekas pegawai Jabatan Audit Negara, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, berkata mereka dipanggil menghadiri sebuah mesyuarat kerana perdana menteri tidak berpuas hati dengan kandungan laporan draf itu.

Peguam Sivananthan berkata, persoalan sama ada ia adalah laporan akhir atau salinan draf, serta sama ada sebahagiannya dipadam secara tidak sah” perlu diserahkan kepada mahkamah untuk diputuskan.

“Sama juga dakwaan terhadap Arul yang beliau bersubahat dalam jenayah itu.”

Sementara itu, Shafee berkata, pindaan itu mungkin menjejaskan kes pembelaan.

“Kami membentangkan kes kami kepada Ali Hamsa ketika pemeriksaan balas dan beliau kata berdasarkan pendapatnya, laporan itu ialah salinan draf.

“Kami berhujah walaupun dengan cadangan pindaan ini, ia (pertuduhan itu) tidak mendedahkan satu kesalahan dan perlu digugurkan.”

Katanya, pihak pembelaan mempertimbangkan membuat satu permohonan untuk menggugurkan pertuduhan itu di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

Perbicaraan akan disambung semula 27 Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.