Pakar senarai cara tingkat keyakinan masyarakat pada pengangkutan awam

Pakar senarai cara tingkat keyakinan masyarakat pada pengangkutan awam

Pakar pengangkutan berkata penumpang mesti tahu kesihatan mereka terjaga.

Bas, kereta api, dan perkhidmatan lain dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh bawah PKPP.
PETALING JAYA:
Seorang pakar pengangkutan menyeru langkah-langkah lebih baik untuk menjaga kesihatan pengguna pengangkutan awam memandangkan bas, kereta api, dan perkhidmatan lain dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh.

Ini akan meningkatkan keyakinan pengguna pada pengangkutan awam, kata Rosli Azad Khan, pengarah urusan kumpulan perunding MDS.

Bercakap kepada FMT, beliau mencadangkan:

  • Menguatkuasakan pemeriksaan suhu badan di stesen dan terminal;
  • Memasang sistem yang akan menambahbaik kitaran udara dalam kereta api;
  • Menguatkuasakan peraturan sanitasi tangan dan pemakaian pelitup muka;
  • Pemasangan sistem digital untuk merakam data penumpang secara langsung dan mengurus barisan; dan
  • Pembersihan dan penyahjangkitan kenderaan dengan kerap.

Beliau berkata kebergantungan pada kenderaan persendirian menjadi trend kerana tiada peraturan penjarakkan sosial bagi pengangkutan awam.

“Satu langkah ke belakang jika lebih ramai orang bergantung pada kereta persendirian dan bukan pengangkutan awam” katanya. “Ini akan memberi impak yang besar pada pengeluaran karbon, alam sekitar, dan kebolehhidupan di bandar.”

Beliau berkata beberapa bandar di serata dunia menangani cabaran menguatkuasakan peraturan penjarakkan sosial dengan meluaskan kaki lima di stesen dan terminal.

Beliau menggesa kerajaan menyediakan prasarana yang akan mengalakkan jalan kaki dan berbasikal bagi perjalanan dekat di kawasan bandar, mengatakan pihak berkuasa Paris memperkenalkan laluan basikal baru sepanjang 650km.

“Ini seperti memperkenalkan budaya mobiliti yang baru,” katanya. “Malaysia harus menggunakan pendekatan sama bagi mengawal penggunaan kereta sehingga orang ramai lebih yakin untuk menggunakan pengangkutan awam.”

Kawalan ke atas industri pengangkutan dilonggarkan pada 11 Jun bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.