
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham berkata 10 kes positif dilaporkan daripada kluster Bukit Bintang sehingga 12 tengah hari tadi.
“Yang melibatkan 9 kes warganegara Bangladesh dan 1 kes warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media hari ini.
Kes indeks bagi kluster ini adalah seorang lelaki bukan warganegara yang menjalani saringan Covid-19 untuk masuk kerja. Kes ke-8498 ini didapati positif pada 15 Jun.
“Siasatan dan saringan Covid-19 ke atas semua kontak rapat telah dijalankan,” katanya.
Hisham melaporkan setakat ini seramai 274 orang disaring, di mana 203 bukan warganegara dan 71 warganegara Malaysia.
Hasil siasatan mendapati 9 orang positif dan 265 negatif.
“Tujuh daripada 10 kes positif kluster ini rakan serumah kepada kes indeks,” katanya.
Langkah pencegahan seperti proses pembersihan dan nyah kuman dijalankan di tempat kediaman mereka serta lokasi-lokasi lain yang berkaitan.
“Punca jangkitan kluster ini adalah masih dalam siasatan,” katanya.
Kluster tapak pembinaan
Mengenai kluster tapak pembinaan di Kuching, Hisham melaporkan kluster itu mula dikesan apabila ketiga daripada kluster itu, iaitu ke-8591, membuat saringan Covid-19n di sebuah klinik swasta dan didapati positif.
“Beliau merupakan ketua penyelia kepada 2 orang pekerja warga Indonesia yang dikesan positif Covid-19 pada 16 Jun hasil saringan di tempat kerja,” katanya.
Susulan itu siasatan dan saringan kontak rapat termasuk pekerja tapak pembinaan tersebut serta ahli keluarga mereka dijalankan.
Setakat ini seramai 426 kontak dikenalpasti, di mana 62 orang didapati negatif dan selebihnya (364 orang) masih menunggu keputusan.
“Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan,” katanya.
Kluster kondominium
Mengenai kluster kondominium di Hulu Langat, Hisham melaporkan kes indeks kluster itu merupakan seorang pelajar
pusat tahfiz yang dikesan positif dalam saringan Covid-19 pada 8 Jun.
Susulan penemuan kes ke-8368 itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dijalankan dan 2 lagi kes positif dikesan daripada kluster itu.
“Kes pertama merupakan bukan warganegara namun merupakan bapa saudara angkat kepada kes indeks,” katanya.
Kes ke-5818 itu tinggal di kediaman lain namun terdapat aktiviti kunjung-mengunjung di antara mereka.
“Salah seorang rakan sekerja kepada kes ke-5818 turut dikesan positif,” katanya, merujuk kepada kes ke-5894.
Sehingga hari ini, seramai 40 kontak rapat dikenal pasti dan disaring. Daripada jumlah itu, 26 orang bukan warganegara dan 14 orang warganegara Malaysia.
“Keputusan saringan adalah seperti berikut: 3 kes dikesan positif, 30 kes negatif, dan 7 orang masih menunggu keputusan,” katanya,” katanya.