Tindakan akan diambil terhadap majikan tak salur subsidi upah

Tindakan akan diambil terhadap majikan tak salur subsidi upah

Kerajaan ada menerima maklumat terdapat majikan yang tidak menyalurkan subsidi upah kepada pekerja.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata sehingga 19 Jun, sebanyak RM4.89 bilion diluluskan bagi 303,596 majikan yang memberi manfaat kepada lebih 2.40 juta pekerja bawah Program Subsidi Upah.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan ada menerima maklumat terdapat majikan yang tidak menyalurkan subsidi upah kepada pekerja mereka dan ini melanggar syarat-syarat, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Bantuan rangsangan ekonomi tidak seharusnya disalah guna malah majikan perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak mengambil kesempatan serta menganiaya pekerja.

“Saya ingin mengingatkan kerajaan akan mengambil tindakan terhadap majikan-majikan ini,” katanya ketika membentangkan Laporan ke-10 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di Facebook hari ini.

Program Subsidi Upah (PSU) merupakan bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Tujuan PSU ialah membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat Covid-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

Tengku Zafrul berkata sehingga 19 Jun, sebanyak RM4.89 bilion diluluskan bagi 303,596 majikan yang memberi manfaat kepada lebih 2.40 juta pekerja bawah program tersebut.

“Saya mengingatkan sekali lagi bahawa dengan penyelarasan Program Subsidi Upah bawah Penjana, majikan boleh mula membuat permohonan untuk program Subsidi Upah yang ditambah baik mulai 15 Jun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.