SPRM akan rayu keputusan mahkamah tolak saman lucut hak RM194 juta

SPRM akan rayu keputusan mahkamah tolak saman lucut hak RM194 juta

Tempoh rayuan adalah 2 minggu daripada tarikh keputusan mahkamah.

PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman kerajaan untuk melucut hak Umno, Wanita MCA, dan 2 syarikat ke atas RM194 juta yang didakwa berkaitan dana 1MDB.

Badan anti-rasuah itu berkata Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan “dalam tempoh terdekat”.

“Tempoh rayuan yang diberikan adalah 2 minggu daripada tarikh keputusan mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 19 Jun menolak permohonan pendakwa raya untuk menggantung perintah penolakan pelucutan hak Umno ke atas RMRM192,965,413.61, selepas mendengar hujah yang dibangkitkan sewaktu perbicaraan.

Menurut peguam, antara hujah yang dikemukakan ialah wang yang disita SPRM itu bukan dana awam atau dana 1MDB, dan tiada sebarang keadaan khas yang membolehkan mahkamah menggantung keputusan menolak pelucutan hak itu.

Mahkamah sama pada 7 Feb membuang permohonan melucutkan hak Umno ke atas wang itu kerana wang yang dibekukan itu tidak boleh dikatakan wang yang Umno terima daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Mahkamah pada 19 Jun juga menolak permohonan pendakwa raya untuk mendapatkan penggantungan perintah sama terhadap Wanita MCA (RM300,000), Perano Sdn Bhd (RM337,634,78), dan Binsabi Sdn Bhd (RM777,250).

Hakim berkata ia ditolak kerana pendakwaan gagal menunjukkan keadaan khusus bagi menjamin penangguhan.

SPRM membeku wang daripada 4 entiti itu pada Jun 2018 kerana didakwa berkaitan skandal 1MDB.

Pelucuthakan itu difailkan bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) bagi mendapatkan kembali wang yang didakwa wang 1MDB yang dipindahkan daripada akaun Najib ke entiti berkenaan.

Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dana didakwa daripada 1MDB dalam akaun banknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.