Wakil pembangkang mahu DUN bincang urus janji Petronas

Wakil pembangkang mahu DUN bincang urus janji Petronas

Adun Batu Lintang See Chee How berkata, semua perkara berkaitan rundingan dengan Petronas hendaklah dibincangkan di DUN Sarawak.

Kerajaan negeri Sarawak menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja bagi menangani rundingan dengan Petronas dan kerajaan persekutuan. (Gambar AFP)
KUCHING:
Seorang pemimpin pembangkang di Sarawak menggesa supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) membincangkan rundingan kerajaan negeri dengan Petronas dan kerajaan persekutuan berhubung hak minyak dan gas negeri itu.

Adun Batu Lintang See Chee How berkata, semua perkara berkaitan rundingan itu hendaklah dibincangkan di DUN sebelum mesyuarat seterusnya dengan Petronas diadakan.

Terdahulu kerajaan negeri berkata, sebuah jawatankuasa kerja diketuai timbalan ketua menteri Awang Tengah Ali Hassan akan memudah cara rundingan antara Petronas dan kerajaan persekutuan berhubung cukai jualan yang perlu dibayar kepada Sarawak.

Jawatankuasa kerja itu juga akan berbincang dengan kerajaan persekutuan dan Petronas berhubung langkah meningkatkan penyertaan Sarawak dalam industri minyak dan gas.

See Chee How

See bagaimanapun berkata, kerajaan negeri perlu berhati-hati mengenai “keesahan rundingan itu dari sudut perlembagaan dan undang-undang serta terma perjanjian yang akan dicapai”.

Sarawak tidak harus mengulangi kesilapan yang dibuat pada 1974 berhubung Akta Pembangunan Petroluem dan dokumen serta instrumen susulannya yang menurut beliau, menafikan hak eksklusif negeri itu ke atas rizab petroleum.

See, yang merupakan anggota Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu berkata, keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa kerja itu tidak selaras dengan keputusan DUN.

Beliau berkata, jawatankuasa itu beroperasi di luar bidang kuasa jawatakuasa perunding Perjanjian Malaysia 1963, justeru adalah lebih baik jika skop dan terma rujukannya ditetapkan oleh DUN.

Jawatankuasa perunding Awang Tengah terdiri daripada Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek negeri, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Gazali; peguam besar negeri Talaat Mahmood Abdul Rashid; penasihat undang-undang negeri J C Fong; pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri Muhammad Abdullah Zaidel dan ketua pegawai eksekutif Petroleum Sarawak Saau Kakok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.