Tiada keperluan laksana PKPD di Sepang, saringan memadai, kata Noor Hisham

Tiada keperluan laksana PKPD di Sepang, saringan memadai, kata Noor Hisham

Setakat ini jangkitan Covid-19 kluster Labu Lanjut di Sepang melibatkan 5 ahli keluarga yang sama.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, tiada keperluan setakat ini untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) atau secara pentadbiran berikutan pengesanan kluster baru Covid-19 di Labu Lanjut, Sepang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata , setakat ini jangkitan yang berlaku melibatkan 5 ahli keluarga yang sama dan tiada jangkitan melibatkan pihak lain dikesan.

“Setakat ini kluster Labu melibatkan jangkitan 5 kes dan kita masih jalankan siasatan dan mengenal pasti 29 kontak rapat.

“Berdasarkan pengesanan itu, tidak ada kes positif yang dikesan selain ahli keluarga tersebut. Jadi kita rasa tak perlu PKPD atau PKPD (pentadbiran) di kawasan tersebut, memadai dengan menjalankan saringan,”katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.

Pada Sabtu, KKM memaklumkan mengesan satu kluster baru di Labu Lanjut, Sepang yang sehingga kini membabitkan 5 kes positif Covid-19.

Kes indeks kluster tersebut adalah seorang pesakit yang dirawat untuk Acute Respiratory Infection (ARI) di Hospital Serdang dan dikesan positif Covid-19 pada 5 Jun.

Hasil pengesanan kes secara aktif mendapati 4 ahli keluarga beliau, iaitu 2 anak dan 2 cucu juga positif Covid-19.

Punca jangkitan kluster itu masih dalam siasatan, namun penularan Covid-19 disyaki berkaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung.

316 kes positif kluster Pedas

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, 316 kes positif dilaporkan membabitkan kluster Pedas di Negeri Sembilan.

“Kes-kes positif kluster ini melibatkan 14 kes dalam kalangan warga Malaysia dan 302 bukan warganegara, iaitu 163 kes warga Nepal; 67 (Bangladesh); 35 (Myanmar); 31 (Indonesia); 4 (India); 1 (Vietnam); dan 1 (Kemboja),” katanya.

Katanya, penularan kluster ini bermula dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia dan kemudiannya berjangkit kepada pekerja bukan warganegara.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, situasi tempat kediaman yang sesak dan sempit bagi golongan bukan warganegara sememangnya merupakan faktor utama penularan dalam kalangan mereka.

“Susulan itu, pekerja yang terlibat dalam kluster ini telah diasingkan di pusat kuarantin. Mereka terasing dari masyarakat dan tidak memberi risiko kepada umum.

“Ingin dimaklumkan bahawa kes positif baru kluster ini (12 kes) dikesan hasil daripada saringan Covid-19 yang ke-5 dalam tempoh mereka berada di pusat kuarantin,” katanya.

Kaji antibodi pesakit pulih Covid-19

KKM akan menjalankan kajian baru berhubung antibodi pesakit Covid-19 yang sudah pulih dalam masa terdekat.

Ia berikutan laporan yang mendakwa antibodi pesakit sudah pulih hanya bertahan selama 3 hingga 4 bulan.

Justeru, Noor Hisham berkata, kajian perlu dilakukan untuk melihat kewujudan antibodi dalam pesakit berkenaan.

“Kajian ini untuk melihat bagaimana respons antibodi kerana pesakit sembuh setelah dijangkiti.

“Kita mahu lihat sama ada antibodi ini ada atau tidak pada pesakit ini,” katanya.

Mengulas komplikasi paru-paru dalam kalangan pesakit Covid-19 yang pulih, Noor Hisham berkata, KKM hanya membenarkan pesakit pulang selepas diperiksa sepenuhnya.

“Daripada 8,587 pesakit kes positif yang menerima rawatan susulan, kita mengenal pasti mereka hanya berada pada peringkat jangkitan 1 dan 2 sahaja.

“Sekiranya pesakit berada pada peringkat 4 atau 5, mereka akan dipantau sebaiknya dan dirawat sebelum didiscaj.

“Pengesanan dilakukan menerusi rawatan CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) atau imbasan X-ray,” katanya.

Sesi lawatan ke hospital masih diperketat

Noor Hisham berkata,, KKM masih memperketat sesi lawatan pesakit di hospital di seluruh negara.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membawa kumpulan berisiko, terutamanya kanak-kanak untuk melawat pesakit di hospital.

“Setakat ini kita masih memperketatkan lawatan kerana didapati risiko jangkitan penyakit adalah tinggi dan saya menasihatkan jangan bawa kanak-kanak.

“Mereka yang datang juga akan disaring sebelum dibenarkan masuk,” katanya.

Lawatan hanya dibenarkan untuk pesakit serius pada masa ini, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.