Saudi ‘gembira tapi takut’ tamatkan sekatan ketika kes meningkat

Saudi ‘gembira tapi takut’ tamatkan sekatan ketika kes meningkat

Umrah ke Mekah dan Madinah masih digantung kerana bimbang pandemik koronavirus menular di 2 kota suci itu.

Penganut Islam memakai pelitup muka bagi mengekang penularan virus. (Gambar AP)
RIYADH:
Arab Saudi semalam menamatkan kawalan koronavirus dan menarik balik sekatan ke atas perniagaan, termasuk salun rambut dan panggung wayang, selepas operasi dihadkan selama 3 bulan, meskipun jangkitan menunjukkan peningkatan.

Media rasmi melaporkan masjid di Mekah dibenarkan mengadakan solat, beberapa minggu sebelum haji bermula.

Penerbangan antarabangsa dan ziarah keagamaan masih tergantung dan himpunan sosial melibatkan lebih 50 orang dilarang, kata kementerian dalam negeri.

Suruhanjaya media audiovisual am Arab Saudi mengumumkan panggung wayang di seluruh negara itu dibenarkan untuk beroperasi tetapi tertakluk kepada garis panduan penjarakkan sosial yang ketat.

“Kami gembira dan dalam masa sama berwaspada…sudah 5 bulan saya tak gunting rambut,” kata Bashayer, seorang pelanggan di sebuah salun rambut di Riyadh.

“Kami sebenarnya takut. Saya cuci tangan setiap kali sentuh sesuatu,” katanya, sambil rambutnya digunting seorang pendandan rambut yang memakai pelitup dan pelindung muka.

Kerajaan itu, yang melaporkan jangkitan koronavirus tertinggi di Teluk, menyaksikan peningkatan kes selepas ia mula melonggarkan langkah kawalan pada hujung Mei.

Semalam, jumlah jangkitan meningkat kepada 157,612 kes, manakala jumlah kematian naik kepada 1,267 kes, menurut data kementerian kesihatan.

Unit rawatan rapi di Riyadh dan Jedah sesak dengan pesakit koronavirus, menyebabkan sistem penjagaan kesihatan terbeban, kata sumber perubatan kepada AFP.

Keputusan untuk menarik balik sekatan itu di sebalik krisis ekonomi terburuk yang dialami kerajaan itu dalam beberapa dekad lalu, ketika ia bergelut dengan harga minyak yang rendah dan impak virus.

Masjid di luar Mekah dibenarkan dibuka pada hujung Mei, tetapi dikenakan peraturan penjarakkan sosial yang ketat dan langkah lain.

Kerajaan Saudi berkata umrah ke Mekah dan Madinah masih digantung kerana bimbang pandemik koronavirus menular di 2 kota suci itu.

Pihak berkuasa belum mengumumkan adakah mereka akan meneruskan haji tahun ini, yang dijadualkan pada hujung Julai, tetapi menggesa orang Islam menangguhkan ziarah tahunan itu.

Tahun lepas, kira-kira 2.5 juta orang Islam dari serata dunia pergi ke Arab Saudi untuk haji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.