
Katanya, kos bahan api global mengalami penurunan sejak 3 bulan lalu dan ini turut mengurangkan kos penjanaan elektrik.
“Pengguna-pengguna domestik mahupun komersial dan industri sepatutnya dapat menikmati rebat juga untuk Julai hingga Disember 2020 kerana penurunan kos bahan api,” tulisnya dalam catatan di Facebook semalam.
Terdahulu, bekas perdana menteri, Najib Razak semalam menggesa kerajaan menurunkan tarif elektrik disebabkan kejatuhan harga arang batu dan minyak.

Beliau berharap kadar itu akan dikurangkan dalam semakan semula tarif elektrik yang dijadualkan 1 Julai ini.
Semalam, kerajaan mengumumkan 4 juta pengguna domestik dengan bil bulanan di bawah RM77 atau tidak melebihi 300kWj akan menikmati bekalan percuma selama 3 bulan mulai April lalu.
Seramai 3.6 juta pengguna yang menggunakan lebih 300kWj elektrik pula akan mendapat potongan RM77 sebulan dalam bil mereka mulai April hingga bulan ini.
Ia sebahagian daripada Bantuan Prihatin Elektrik tambahan yang mula dilaksanakan sejak 1 April lalu untuk mengurangkan beban kewangan rakyat susulan kenaikan bil elektrik sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu dan dibiayai dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
Yeo berkata, potongan bil elektrik selama 3 bulan itu tidak patut diwar-warkan sebagai jasa Umno kerana ia sebenarnya ialah dana KWIE.
“Sebelum perubahan kerajaan pada 1 Mac 2020, KWIE dianggar akan mencatat lebih daripada RM1.5 bilion pada Jun 2020.
“RM200 juta dari KWIE sedia ada dan RM1.368 bilion dari anggaran hasil mekanisme ‘Imbalance-Cost-Past-Through’ (ICPT) yang ditetapkan Kerajaan Pakatan Harapan untuk Januari hingga Jun 2020 (surcaj bahan api daripada pengguna komersial dan industri berjumlah RM594 juta dan penjimatan daripada pelarasan hasil Incentive-Based-Regulation (IBR) berjumlah RM774 juta).
“Semasa saya menjadi menteri tenaga, kami membuat keputusan untuk meningkatkan dana KWIE supaya ia boleh digunakan pada masa mencabar bagi menampung beban rakyat serta menstabilkan tarif elektrik.”