
Sebuah kapal terbang domestik di China terpaksa melakukan pendaratan kecemasan pada ketinggian 30,000 kaki selepas mendapati seorang wanita dalam keadaan mabuk bertindak memecahkan cermin tingkap kapal terbang berkenaan.
Menurut laporan Gulf News, wanita yang berumur 29 tahun dikenali sebagai Li bertindak sedemikian kerana hubungan percintaan dengan pasangannya berakhir.
Menurut laporan polis, sebelum menaiki kapal terbang wanita ini minum setengah liter alkohol yang dikenali sebagai “baijiu”.
Difahamkan minuman alkohol itu mengandungi paras alkohol antara 35% hingga 60%.
Dalam pada itu, foto yang dikongsi daripada sosial media China seperti Weibo menunjukkan wanita berkenaan sedang duduk sambil menangis lalu bertindak memukul tingkap kaca kapal terbang berulang kali.
Kru kabin dan penumpang lain cuba untuk menenangkannya sebelum dia dipindahkan ke tempat lain oleh pramugari selepas dia memecahkan lapisan pertama tingkap.
Sehubungan itu, juruterbang memutuskan untuk melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng, di ibu kota Henan dan dilaporkan tiada sesiapa cedera.
Difahamkan, masih belum ada lagi laporan sama ada wanita berkenaan akan dikenakan tindakan atau hukuman kerana merosakkan cermin tingkap kapal terbang.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]