48 ditahan langgar PKPP, termasuk 10 di pusat urut, kata Ismail Sabri

48 ditahan langgar PKPP, termasuk 10 di pusat urut, kata Ismail Sabri

Daripada jumlah itu, 40 direman dan 8 dikenakan kompaun.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, pihak berkuasa menahan 48 individu pada hari ke-11 pelaksanaan PKPP kerana kesalahan ingkar arahan, termasuk melakukan aktiviti refleksologi atau urut dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
48 individu ditahan pada hari ke-11 pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) kerana melanggar peraturan, termasuk larangan melakukan aktiviti di pusat urut.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 40 direman dan 8 dikenakan kompaun.

“Polis menahan 48 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP. Daripada jumlah ini, 40 individu direman dan 8 lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP, termasuk aktiviti refleksologi atau urut (10) dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial (38),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu beliau berkata, melalui Operasi Benteng melibatkan tentera, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) pihak berkuasa mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin, selain mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan wabak Covid-19.

“Polis berjaya menahan 10 warganegara asing di sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen,”katanya.

Ismail juga berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 73 tapak pembinaan di seluruh negara melibatkan 138 anggota penguat kuasa semalam.

“Daripada jumlah itu, pemeriksaan mendapati 56 tapak pembinaan patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, manakala 2 tidak patuh SOP dan diberi amaran. 15 tapak pembinaan tidak beroperasi.

“Jumlah kumulatif tapak pembinaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,173 buah, sementara 419 tidak patuh SOP dan diberi amaran.

“Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak pembinaan ditutup kerana tidak mematuhi SOP,” katanya,

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.