
Pihak berkuasa China dan Norway mengesahkan salmon Norway bukan sumber kepada Covid-19 yang terdapat pada papan pemotong di pasar makanan di Beijing, kata menteri perikanan dan makanan laut Norway.
“Pertemuan antara pegawai China dan Norway, kedua-dua negara telah memutuskan sumber wabak itu tidak berasal dari ikan dari negara ini,” kata Odd Emil Ingebrigtsen.
Sumber protein dari Norway itu dikaji di China selepas muncul kes baharu Covid-19 yang ditemui pada papan pemotong yang digunakan untuk memotong salmon yang diimport.
Ia ditemui pada papan pemotong di pasar borong Xinfadi, di Beijing hingga mencetuskan gelombang kedua wabak itu di ibu negara China itu, sejak minggu lalu.
Kenaikan kes Covid-19 di Beijing sejak enam hari lalu menimbulkan ketakutan kepada penduduk.
China menghentikan import salmon dari Eropah berikutan penemuan virus itu pada papan pemotong yang digunakan untuk memotong ikan di pasar Xinfadi Beijing, baru-baru ini.
Berikutan itu, pasar-pasar raya di ibu negara China telah bertindak mengeluarkan salmon daripada rak masing-masing.
Pengeluar salmon Norway mengesahkan menerima pembatalan bekalan ikan salmon dari China walaupun Lembaga Keselamatan Makanan Norway mengatakan tidak ada bukti bahawa ikan boleh dijangkiti dengan virus tersebut.
Sekurang-kurangnya 137 orang dijangkiti pandemik itu sejak minggu lalu di ibu kota China, kemunculan semula jangkitan yang menyebabkan penutupan beberapa kawasan dan pembatalan lebih dari 1,000 penerbangan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]