Permohonan Ahmad Maslan batal pertuduhan didengar 9 Julai

Permohonan Ahmad Maslan batal pertuduhan didengar 9 Julai

Hakim Azman Ahmad menetapkan 9 Julai depan untuk mendengar permohonan Ahmad Maslan ketika pengurusan kes di hadapannya hari ini.

Bekas menteri kewangan Ahmad Maslan berdepan pertuduhan pengubahan wang dan memberi penyataan palsu membabitkan wang sebanyak RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak pada November 2013.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 9 Julai untuk mendengar permohonan ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan untuk membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram dan memberi penyataan palsu yang dihadapinya.

Hakim Azman Ahmad menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes di hadapannya hari ini.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad, sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah memfailkan hujahan berhubung permohonan anak guamnya di mahkamah.

Timbalan pendakwa raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar mengesahkan perkara itu.

Mohd Mukhzany Fariz yang dibantu timbalan pendakwa raya Siti Noor Hafizan Zakaria, turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan pagi ini.

Ahmad, 54, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas timbalan menteri kewangan itu didakwa menerima wang tersebut daripada Najib, yang dipercayai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu ketua penolong penguasa kanan Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.