
Warga asing yang dibenarkan masuk dari kategori ekspatriat kategori EP1, iaitu pekerja asing yang memiliki kepakaran diperlukan negara, individu yang datang untuk mendapatkan rawatan, dan pelajar asing.
Manakala, rakyat yang perlu keluar negara bagi tujuan pendidikan dan peperiksaan perlu menunjukkan surat dari pihak universiti kepada petugas imigresen di pintu keluar negara semasa di lapangan terbang.
Menteri menjelaskan ekspatriat kategori EP1 tidak perlu memohon kebenaran imigresen, individu yang mendapatkan rawatan perlu mendaftar dengan Majlis Pelancongan Kesihatan, dan pelajar asing perlu mendaftar dengan Kementerian Pengajitan Tinggi atau Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Senarai nama yang diberikan itu akan digunakan untuk laluan di lapangan terbang,” katanya pada sidang media hari ini.
Menteri berkata mereka semua tetap perlu mematuhi tatacara operasi standard seperti menjalani pemeriksaan Covid-19 di negara asal dan memuat turun aplikasi MySejahtera.
“Jika mereka negatif dan datang dari negara yang dikategorikan sebagai negara zon hijau, mereka tidak perlu dikuarantin selama 14 hari. Tetapi jika dari negara zon merah, mereka tetap perlu jalani kuarantin di rumah selama 14 hari,” katanya.
Antara negara yang dikategorikan Kementerian Kesihatan sebagai negara zon hijau adalah Singapura, Brunei, New Zealand, dan Australia.
Pada masa sama, Ismail turut memaklumkan mesyuarat khas pada hari ini turut bersetuju membenarkan sektor sukan air dalam kolam renang untuk aktiviti latihan tanpa sentuhan fizikal.
“Ia dibenarkan mengikut sesi ditetapkan dan dihadkan jumlah orang pada satu-satu sesi mengikut kapasiti kolam renang untuk atlet kebangsaan, negeri dan perenang kelab dan akademi renang dalam program latihan-latihan tertentu,” katanya.
Atlet dan peserta aktiviti renang perlu mematuhi SOP ditetapkan seperti diwajikan mendaftar aplikasi MySejahtera, dan penjarakkan sosial 3 hingga 5 meter semasa aktiviti latihan dalam kolam renang.
Perkara sama turut terpakai pada operator kolam renang.
“Antara SOP ditetapkan adalah kawalan had jumlah perenang dalam kolam renang dan di bilik mandi atau persalinan.
“Operator kolam juga perlu memastikan ujian tahap klorin dalam kolam renang dilakukan setiap 2 jam operasi bagi memastikan tahap klorin pada tahap optimum,” katanya.
Pembukaan kolam renang untuk aktiviti latihan sukan berkuatkuasa pada Khamis.