Mahkamah tolak permohonan pendakwa gantung perintah kembali RM192 juta wang Umno

Mahkamah tolak permohonan pendakwa gantung perintah kembali RM192 juta wang Umno

Pada 7 Februari mahkamah menolak permohonan pelucutan hak dana Umno sebanyak RM192 juta.

Mahkamah Tinggi mendapati tiada keadaan khusus yang membolehkan perintah penolakan permohonan pelucutan hak dana Umno diberikan.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pendakwa raya untuk menggantung perintah penolakan pelucutan hak wang berjumlah RMRM192,965,413.61 daripada Umno.

Peguam mewakili Umno, Hariharan Tara Singh bersama Tania Scivetti berkata, hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendengar hujah yang dibangkitkan sewaktu perbicaraan.

“Antara hujah yang dikemukakan ialah wang berjumlah RM192,965,413.61 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Umno bukanlah dana awam atau dana 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tidak ada sebarang keadaan khas yang membolehkan mahkamah menggantung keputusan menolak pelucutan hak wang berjumlah RM192,965,413.61 tersebut.

Hariharan berkata, Umno juga berharap pendakwa raya menerima seadaanya keputusan mahkamah pada 7 Februari yang menolak permohonan pelucutan hak wang tersebut.

Pada masa sama, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan pasukan pendakwaan untuk mendapatkan penggantungan perintah yang sama bagi pihak lain, iaitu Wanita MCA (RM300,000), Perano Sdn Bhd (RM337,634,78) dan Binsabi Sdn Bhd (RM777,250).

Hakim Mohamed Zaini sewaktu menyampaikan keputusan itu memaklumkan bahawa keputusan menolak permohonan penangguhan itu dibuat kerana pendakwaan gagal menunjukkan keadaan khusus bagi menjamin penangguhan.

Beliau memberitahu timbalan pendakwa raya, Mahadi Abdul Jumaat bahawa pihak pendakwaan boleh menulis surat kepada Mahkamah Rayuan untuk meminta penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.