KP Kesihatan perjelas rasional khidmat 2 syif di klinik sesak

KP Kesihatan perjelas rasional khidmat 2 syif di klinik sesak

KKM sebelum ini digesa menangguhkan cadangan melaksanakan sistem syif di klinik kesihatan sehingga perbincangan dengan kesatuan dan pihak berkepentingan diadakan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika cadangan khidmat 2 syif tidak diterima, maka wujud keperluan untuk membina lebih banyak ruang dan fasiliti bagi menampung jumlah pesakit yang bertambah.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menjelaskan rasional perkhidmatan 2 syif di klinik kesihatan kerajaan, iaitu pagi dan petang, selain pengambilan beberapa langkah untuk amal penjarakan sosial supaya warga kerja kementerian itu tidak perlu bekerja lebih masa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham berkata, ini kerana buat masa ini petugas di klinik kesihatan perlu bekerja dari pagi hingga 10 malam.

“Jika 2 syif waktu kerja lebih pendek, iaitu hanya 8 jam. Mungkin itu salah satu cara penyelesaiannya.

“Tetapi kita kena lihat sebelum laksana, sama ada dapat pertambahan jawatan untuk lantik lebih ramai doktor dan jururawat untuk tampung waktu (2) syif ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada kementerian membuat perubahan selepas terdapat bantahan terhadap cadangan perkhidmatan 2 syif di klinik kesihatan kerajaan bagi mengelak kesesakan.

Sebelum ini, KKM digesa supaya menangguhkan usaha atau cadangan melaksanakan sistem syif di klinik kesihatan seluruh negara sehingga perbincangan bersama kesatuan dan pihak berkepentingan diadakan.

Gesaan itu dibuat selepas Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menerima laporan bahawa KKM ketika ini menjalankan bancian pendapat dalam kalangan kakitangannya.

Kementerian dikatakan mahu mewujudkan sistem 2 syif dalam kalangan kakitangan di klinik kesihatan, iaitu pagi dan petang, bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sebagai ketua pengarah kesihatan, beliau perlu melihat pilihan sedia ada terlebih dulu dari segi penggunaan fasiliti KKM.

Katanya, jika cadangan 2 syif tidak ada, maka wujud keperluan untuk membina lebih banyak ruang dan fasiliti bagi menampung jumlah pesakit yang bertambah.

“Kalau tidak ada 2 syif, kena tambah waktu kerja dan guna sumber tenaga sedia ada.

“Buat masa ini petugas perlu bekerja lebih masa hingga 10 malam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.