
Perolehan merosot sebanyak 10% kepada RM2.3 bilion daripada RM2.5 bilion sebelum ini, berikutan perolehan lebih rendah daripada bahagian perindustrian, hartanah, perindustrian berat, perdagangan, kewangan dan pelaburan kumpulan itu.
Bagaimanapun, bahagian farmaseutikalnya mencatatkan perolehan lebih tinggi sebanyak RM819.9 juta pada suku pertama 2020 berbanding RM786.1 juta pada suku pertama 2019, berikutan permintaan yang lebih tinggi daripada operasi di Indonesia, menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Susulan daripada pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP), aktiviti perniagaan pada dasarnya terhenti dalam banyak industri.
“Kumpulan tidak terkecuali daripada masalah ini, berikutan kebanyakan daripada bahagian kami terjejas, memberi impak kepada pendapatan pada suku pertama,” kata pengerusinya Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan berasingan.
Bagaimanapun, beliau yakin langkah transformasi Boustead Holdings yang sedang dilaksanakan akan membolehkan kumpulan menghadapi situasi mencabar pada tahun ini.
Selain itu katanya, kumpulan menyasarkan untuk mengukuhkan operasi dan meningkatkan prestasinya dalam mencapai prospek yang lebih cerah untuk tempoh 3 tahun akan datang.