Selangor benar rumah ibadat bukan Islam dibuka bermula esok

Selangor benar rumah ibadat bukan Islam dibuka bermula esok

Kerajaan Selangor membenarkan penganut bukan Islam mengunjungi rumah ibadat masing-masing, kecuali golongan berisiko tinggi dan sangat berisiko tinggi.

Menurut exco Selangor Dr Mariah Mahmud berkata, pihak pengurusan rumah ibadat harus memastikan jumlah kapasiti yang dibenarkan pada satu-satu masa adalah 1/3 daripada keluasan rumah ibadat terbabit, dengan mengambil kira jarak sosial 1.5 meter bagi setiap individu.
SHAH ALAM:
Selangor membenarkan rumah ibadat bukan Islam dibuka semula bermula esok, dengan syarat semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, dipatuhi.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri mengguna pakai SOP baru yang dikeluarkan Kementerian Perpaduan Negara dengan garis panduan tambahan.

“Semua penganut agama dibenarkan mengunjungi rumah ibadat masing-masing, kecuali golongan berisiko tinggi dan sangat berisiko tinggi.

“Bagaimanapun bagi penganut agama berumur 60 ke atas dan sihat, mereka dibenarkan untuk hadir ke aktiviti keagamaan di rumah ibadat tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tiga garis panduan tambahan itu ialah kategori golongan berisiko rendah, golongan berisiko tinggi seperti yang berumur 60 hingga 69 tahun, mempunyai penyakit seperti darah tinggi dan sangat berisiko tinggi bagi mereka yang berumur 70 tahun ke atas dan mempunyai penyakit kronik.

Siti Mariah berkata buat masa ini, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, masih tidak dibenarkan hadir ke mana-mana rumah ibadat di negeri itu.

Beliau berkata, menerusi garis panduan tambahan yang diedarkan kepada pihak pengurusan rumah ibadat hari ini juga, kerajaan negeri menyarankan mereka supaya melantik pegawai untuk menyelia logistik dan aliran pergerakan keluar masuk penganut agama, supaya sentiasa mematuhi jarakan sosial.

Katanya, pengurusan rumah ibadat juga harus memastikan jumlah kapasiti yang dibenarkan bagi satu-satu masa adalah 1/3 daripada keluasan rumah ibadat terbabit, dengan mengambil kira jarak sosial 1.5 meter bagi setiap individu.

“Semua rumah ibadat dikehendaki berdaftar dengan aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi tujuan pengesanan kontak, dan memaparkan kod QR di pintu masuk serta tidak bersentuhan atau bersalaman dengan orang lain,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Selain Islam Selangor, kini sedang merangka tatacara yang boleh digunakan penganut agama untuk memohon slot, supaya mereka boleh hadir ke rumah ibadat masing-masing mengikut kapasiti yang dibenarkan, sepanjang perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.