Umno Pekan puji PPBM tak letak calon, bukti parti Melayu kembali bersatu

Umno Pekan puji PPBM tak letak calon, bukti parti Melayu kembali bersatu

Gambaran awal kerjasama parti berteras Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

PETALING JAYA:
Umno Pekan hari ini memuji keputusan PPBM tidak bertanding pilihan raya kecil (PRK) DUN Chini pada 4 Julai.

Setiausaha Ahmad Aazmey Abu Talib berkata, ini membuktikan parti Melayu kembali bersatu, perkembangan yang boleh membantu jentera dan mempengaruhi pengundi selepas Muafakat Nasional antara Umno dan PAS.

“Syukur, kita dan saya sendiri secara peribadi menjangkakan itulah sebaiknya,” katanya kepada FMT, mengulas pengumuman PPBM hari ini.

Aazmey tidak menolak kesepakatan Umno, PAS, dan PPBM pada PRK Chini gambaran awal kerjasama parti berteras Melayu pada pilihan raya umum akan datang, di samping parti bukan Melayu dan parti di Sabah dan Sarawak.

Beliau yang juga setiausaha jentera bagi kempen PRK Chini memaklumkan Umno akan mengumumkan calon esok.

Aazmey bagaimanapun tidak dapat beritahu siapa yang bakal mewakili parti itu.

Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin hari ini mengumumkan partinya akan menyokong calon pilihan Barisan Nasional yang akan mewakili Perikatan Nasional.

“Seluruh jentera PPBM juga akan digerakkan untuk memastikan kemenangan wakil PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 7 Mei.

Abu Bakar yang mewakili BN pada pilihan raya umum 2018 mempertahankan kerusi itu dalam persaingan 3 penjuru dengan majoriti 4,622 undi, mengetepikan calon PAS (5,405 undi) dan calon Pakatan Harapan (1,065).

DUN Chini terletak bawah Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri, Najib Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.