
Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong yang mengetuai pusat arahan Covid-19 Sabah, berkata pengusaha kedai loteri di negeri itu perlu menulis surat kepada kerajaan negeri untuk memohon kebenaran menyambung semula operasi.
“Ia dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri hari ini, tetapi tiada keputusan dibuat. Sehingga ada keputusan, kedai loteri tidak dibenarkan buka,” katanya kepada FMT.
Beliau ditanya mengenai klip video sebuah cawangan Sports Toto di bandar Donggongon, Penampang, dekat sini yang dilaporkan memulakan operasi, tetapi diarahkan tutup oleh pihak berkuasa hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim dilaporkan berkata, polis akan memberitahu pengusaha untuk menutup operasi sehingga arahan kerajaan negeri jelas menyatakan mereka boleh berniaga semula.
Selain Sports Toto, pengusaha kedai loteri di sini ialah Diriwan 88 dan Kelab Lumba Kuda Sandakan.
Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal hari ini mengumumkan negeri tu membenarkan beberapa perniagaan menyambung semula operasi, termasuk pawagam.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan kecantikan dan kesihatan turut dibenarkan beroperasi semula berdasarkan waktu perniagaan biasa, tetapi tertakluk kepada prosedur operasi standard ditetapkan Kementerian Kesihatan serta pihak berkuasa tempatan.