
Menjawab kritikan John Wong, penyelidik kepada ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Pamela berkata, ini bermakna keputusan berkait langkah untuk menangani wabak itu di Sabah dibuat oleh MKN yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Shafie Apdal.
“Ini bermakna inisiatif kerajaan persekutuan, seperti cadangan mewujudkan pusat kuarantin bagi menyokong hospital tempatan, besar kemungkinan dicadangkan dan mengikut nasihat negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan hanya menyalurkan sumber yang dimilikinya.
Yong berkata, jika penggunaan Komplek Sukan Likas atau mana-mana kemudahan kuarantin lain di Sabah tidak sesuai, maka mengapakah kerajaan negeri mencadangkan penggunaannya?
Cadangan itu katanya, tentulah dibincangkan dalam MKN sebelum dilaksanakan.
Yong berkata, pada 20 April, Shafie memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bahawa pusat kuarantin di Komplek Sukan Likas dicadangkan dan disediakan oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, Wong “secara sengaja” menafikan perkara itu.
“Saya kecewa kerana beliau memilih untuk bermain politik dengan berkata Jabatan Kesihatan negeri merupakan jabatan persekutuan, bukannya menangani isu yang dihadapi,” katanya.
Semalam Wong membidas Yong berhubung kritikannya mengenai keadaan buruk di kemudahan berkaitan, dengan berkata, walaupun Komplek Sukan Likas dicadangkan dan disediakan oleh kerajaan negeri, namun keputusan mengenai penggunaannya sebagai pusat kuarantin terserah kepada kerajaan persekutuan.
Beliau juga berkata, semua pusat kuarantin di Malaysia, termasuk di Sabah, diwartakan dan dikendalikan oleh pihak berkuasa pusat, bukannya negeri seperti didakwa.
Wong berkata, pihak berkuasa persekutuan utama yang bertanggungjawab ke atas pengurusan Covid-19 dan pengeluaran perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah Kementerian Kesihatan (KKM).
Justeru katanya, Yong sepatutnya memberi peringatan kepada KKM, bukannya “membidas pihak lain”.
Pada Jumaat, Yong membidas pihak berkuasa negeri susulan aduan pelajar di media sosial mengenai keadaan buruk di pusat kuarantin di mana mereka ditempatkan.
Katanya, antara aduan yang dibuat ialah gangguan kerap bekalan air, ketiadaan bekas sabun di tandas, tandas yang tidak diurus dengan baik dan kurangnya aktiviti membersih dan nyahkuman di pusat kuarantin.
Ketika mempertahankan kritikalnya sebelum ini, Yong merujuk kenyataan seorang menteri negeri mengenai jumlah wang yang dibelanjakan oleh negeri bagi menaik taraf pusat kuarantin susulan pertikaian mengenai keadaan buruk di kemudahan itu berterusan.
Yong berkata, Frankie Poon, menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat memberitahu bahawa kerajaan Sabah membelanjakan RM2 juta bagi menaik taraf dan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan Komplek Sukan Likas.
Katanya, menurut Poon, wang tersebut bertujuan menjadikan komplek itu kemudahan Covid-19 yang baik kerana ia akan dijadikan pusat kuarantin pada Mei 2020.
Yong juga berkata, Poon menjelaskan bagaimana kerajaan negeri terlibat dalam perancangan awal, persediaan serta kerja-kerja pengurusan dan penyelarasan sepanjang krisis Covid-19.
“Justeru, jika kenyataan Poon betul, maka apakah salah sekiranya saya bertanya kepada kerajaan negeri kenapakah sinki dan tandas tersumbat dan digenangi air lalu menjadikannya persekitaran tidak sihat?
“Tidakkah saya betul apabila bertindak meminta penjelasan kenapa keadaan di pusat terbabit sangat menyedihkan sedangkan Poon memberitahu tentang jumlah wang yang dibelanjakan bagi perancangan dan penyediaan Komplek Sukan Likas sebagai kemudahan Covid-19.”