Pacuan 4 roda rempuh pengunjung, peniaga bazar Ramadan di Hulu Selangor

Pacuan 4 roda rempuh pengunjung, peniaga bazar Ramadan di Hulu Selangor

Rakaman video yang dikongsi laman Facebook 'Info Roadblock JPJ/Polis' menunjukkan pemandu Toyota Hilux itu membuat beberapa pusingan di dalam tapak bazar Ramadan.

Tangkap layar rakaman video menunjukkan kenderaan pacuan 4 roda berada di tapak bazar Ramadan di Hulu Selangor.
PETALING JAYA:
Sebuah kenderaan pacuan 4 roda yang dipandu secara melulu dirakam merempuh sekurang-kurangnya seorang individu dan beberapa khemah peniaga di tapak bazar Ramadan di Hulu Selangor.

Beberapa rakaman video yang dikongsi laman Facebook “Info Roadblock JPJ/Polis” menunjukkan pemandu Toyota Hilux itu membuat beberapa pusingan di dalam tapak bazar Ramadan.

Keadaan itu menyebabkan pengunjung bertempiaran menyelamatkan diri dan kekecohan timbul di tapak bazar Ramadan berkenaan.

Khemah peniaga di tapak bazar itu turut musnah akibat dirempuh kenderaan terbabit.

Beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan individu lain dilihat membaling objek tumpul ke arah kenderaan itu dalam usaha menghentikannya.

Facebook “Info Roadblock JPJ/Polis” menerusi satu catatan memaklumkan pemandu sudah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bukit Sentosa untuk siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.