
PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa campur tangan selepas satu rakaman video menunjukkan orang ramai berkumpul tanpa menghiraukan penjarakan sosial ketika membeli juadah berbuka puasa di Kampung Pandan.
DBKL berkata, keadaan itu terkawal selepas anggota polis dan DBKL hadir untuk mengawasi serta mengawal keadaan.
Ia mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri di mana saja mereka berada.
Video itu menunjukkan orang ramai berjalan di sebatang jalan dengan beberapa gerai, dan lelaki yang merakamkan video berkenaan mendapati ia kelihatan seperti bazar Ramadan.
Kerajaan tidak membenarkan bazar Ramadan diadakan, walaupun kebanyakan sektor ekonomi sudah kembali beroperasi sejak perintah kawalan pergerakan bersyarat dilaksanakan 4 Mei lalu.