
Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata terlalu awal untuk membenarkan aktiviti ziarah-menziarahi dalam kalangan rakan dan sanak saudara kerana tidak praktikal bagi tuan rumah mengehadkan jumlah tetamunya.
“Aktiviti ziarah-menziarahi terutamanya yang berjumlah besar seperti 20 orang dengan tempoh masa lama merupakan risiko tinggi,” katanya kepada FMT.
Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilanjutkan sebulan sehingga 9 Jun ini dan melarang pergerakan rentas negeri serta orang ramai balik kampung untuk menyambut Aidilfitri.
Tetapi, aktiviti ziarah di negeri sama pada Hari Raya dengan maksimum 20 orang pada satu-satu masa dibenarkan, sedangkan perhimpunan dan aktiviti membabitkan penyertaan ramai dilarang.
Azrul berkata, tidak realistik dan mustahil untuk mengamalkan penjarakan sosial atau langkah mengekang penularan virus ketika beraya, serta mengetahui jika rakan atau saudara dijangkiti virus itu.
“Begitu juga dengan penggunaan topeng dan cecair pembasmi kuman ketika ziarah.”
Beliau juga bimbang dengan rancangan kerajaan membenarkan solat berjemaah, termasuk untuk Hari Raya kerana ia terlalu berisiko.
Katanya, pencegahan penyakit bergantung kepada kemampuan mengubah tingkah laku jemaah dan sukar untuk masjid atau surau mengurangkan jumlah jemaah.
“Jika jumlahnya tidak ramai, apa gunanya mengadakan solat berjemaah?” soalnya yang turut bimbang dengan perkongsian sejadah yang boleh menjadi sumber jangkitan.
Masjid dan rumah ibadat lain di seluruh negara ditutup sejak PKP mula dilaksanakan 18 Mac lalu.
Tetapi, semalam, Muhyiddin berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang memperhalusi prosedur operasi standard yang boleh diamalkan jemaah dan ia akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong serta raja untuk mendapatkan kebenaran.