
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan antara sebab permohonan ditolak kerana maklumat tidak lengkap atau pemohon bagi kategori bujang sebenarnya sudah terima bantuan untuk pelajar.
Di samping itu, ada juga permohonan ditolak kerana rekod menunjukkan pendapatan pemohon melebihi syarat.
“Tetapi mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan,” katanya pada perutusan khas hari ini.
Perdana menteri berkata pemohon yang tidak diluluskan boleh hadir sendiri ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk membuat rayuan mulai 11 Mei ini, selain membuat permohonan secara e-mel.
“Mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, insyaAllah boleh diluluskan,” katanya.
Semalam kerajaan sudah meluluskan 2.3 juta permohonan BPN, termasuk rayuan, melibatkan bayaran berjumlah RM1.7 bilion.
“Dengan kelulusan tersebut, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang yang melibatkan bayaran berjumlah RM11 billion,” katanya.
Perkembangan ini menyusuli aduan pelbagai pihak sehingga mendorong beberapa ahli politik menggesa kerajaan melakukan semakan bagi mengelak keciciran.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyarankan kerajaan memperluaskan BPN merangkumi peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, bimbang individu yang pernah mendaftar itu tidak lagi aktif.
Bekas perdana menteri, Najib Razak juga menggesa kerajaan menggunakan data yang lebih meluas dan terkini dalam pemberian BPN, seperti data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan Pertubuhan Keselamatan Sosial, serta data Bank Negara dan Jabatan Perangkaan.