Perlu undang-undang bantuan Covid-19 sekarang, kata pakar perubatan

Perlu undang-undang bantuan Covid-19 sekarang, kata pakar perubatan

Bekas ketua MMA dan seorang wakil rakyat berkata perlu garis panduan yang jelas mengenai pemberhentian pekerja dan moratorium pinjaman untuk pembelian peralatan.

Bekas presiden MMA berkata klinik mungkin tutup jika doktor muda tidak mampu tanggung overhed.
PETALING JAYA:
Pakar perubaran kecewa dengan langkah Putrajaya membentangkan usul berhubung Covid-19 pada Julai, mengatakan ketika itu mungkin sudah terlewar untuk selamatkan syarikat dan pekerja.

Bekas presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Ravindran Naidu berkata ada kebimbangan harga ubat-ubatan meningkat 10%-30% sejak Mac.

“Syarikat farmaseutikal menaikkan harga ubat,” katanya kepada FMT. Tambahan pula, klinik swasta mengalami penurunan bilangan pesakit sebanyak 80% sejak kegiatan perniagaan digantung sejak 18 Mac.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan baru-baru ini berkata beberapa usul berhubung Covid-19 akan dibentangkan pada Julai, yang akan melihat kepada meringankan beban orang awam dan perniagaan yang disebabkan pandemik itu.

Namun Ravindran berkata Parlimen juga perlu sediakan garis panduan jelas mengenai pemberhentian kakitangan dan pengurangan waktu bekerja. “Kita perlukan garis panduan kerana tiada pesakit dan perlu kurangkan overhed,” tambahnya.

Mengenai moratorium pinjaman, beliau berkata banyak peralatan perubatan termasuk mesin x-ray tidak termasuk dan doktor perlu membayar pinjaman ketika mereka tidak mungkin ada pesakit.

Beliau menambah isu berhubung Covid-19 perlu dibahaskan di Parlimen. Jika tidak, “banyak klinik mungkin tutup kerana doktor baru mungkin tidak mampu tanggung overhed”.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata Putrajaya perlu maklumkan syarikat berapa banyak daripada tabung bantuan khas untuk perusahaan kecil dan sederhana dan subsidi upah dalam pakej rangsangan yang sudah diedarkan.

Beliau berkata banyak PKS berkata mereka tidak terima bantuan itu. “Kerajaan berkata sudah edar tapi industri dan pekerja kata lain,” tambah Lee.

Antara persoalan diajukan adakah wang sudah habis atau Perkeso cukup wang untuk bayar subsidi upah, kata Lee.

Beliau berkata syarikat juga minta garis panduan lebih jelas mengenai pemberhentian kakitangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.