Perantau pasrah tak dapat balik kampung sambut Aidilfiri

Perantau pasrah tak dapat balik kampung sambut Aidilfiri

Ia selepas kerajaan tidak membenarkan aktiviti rentas negeri termasuk larangan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri semasa PKPB.

Kerajaan melarang pulang ke kampung untuk sambutan Aidilfitri semasa tempoh PKPB.
PETALING JAYA:
Rata-rata orang ramai yang merantau pasrah dengan arahan kerajaan yang tidak membenarkan aktiviti rentas negeri termasuk larangan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Seorang perantau, Mohd Izham Isnan berkata tahun ini beliau beraya di Selangor kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman di Kluang, Johor berikutan larangan itu.

Izham, 30, berkata keputusan kerajaan itu yang terbaik dan rakan serumahnya turut menerimanya dengan hati terbuka.

“Semua kawan serumah saya pasrah sebaik mendengar pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tadi.

“Jika balik kampung, sudah pasti orang ramai tidak akan jaga penjarakkan sosial. Daripada jadi punca kluster Covid-19, lebih baik reda dengan keputusan kerajaan,” katanya kepada FMT.

Izham juga berkata lebih baik orang ramai mengambil langkah berhati-hati ketika sambutan perayaan tahun ini.

Katanya, lebih baik duduk di rumah untuk mengurangkan kebarangkalian jangkitan Covid-19.

“Saya rasa berat hati nak berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan.”

Sebelum itu, Muhyiddin mengumumkan PKPB akan dilanjutkan selama 4 minggu lagi sehingga 9 Jun ini.

Kawalan itu sepatutnya tamat pada 12 Mei ini.

Maklum akan pertindihan tempoh kawalan dengan sambutan perayaan, kerajaan berkata sekatan ke atas perjalanan antara negeri masih berkuatkuasa, namun ziarah dibenarkan dalam negeri dengan had 20 orang pada setiap masa.

Seorang lagi perantau, Mohamad Amir Abdul tetap bersyukur dapat beraya di perantauan tahun ini.

Katanya, walaupun tidak dapat pulang ke kampung, tetapi beliau masih menyambut Aidilfitri bersama isteri dan anaknya di Selangor.

“Tahun ini tak dapat beraya di Kluang, Johor. Saya sekeluarga akan sambut di Selangor sahaja.

“Apa pun bersyukur dan jaga kesihatan bersama-sama bagi memerangi Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.