Komplikasi Covid-19 luar biasa seakan gejala ‘Kawasaki’ ragut nyawa kanak-kanak di AS

Komplikasi Covid-19 luar biasa seakan gejala ‘Kawasaki’ ragut nyawa kanak-kanak di AS

Kanak-kanak 5 tahun antara 73 kanak-kanak di New York yang disahkan mengalami gelaja luar biasa selepas alami demam berpanjangan dan muntah hingga ragut nyawanya.

Lidah kanak-kanak yang dijangkiti akan kelihatan seperti ‘strawberi’ iaitu lapisan putih dengan lebam merah di lidah. (Gambar Twitter)

Seorang kanak-kanak lelaki menjadi mangsa pertama maut di Amerika Syarikat (AS) selepas mengalami beberapa komplikasi Covid-19 luar biasa termasuk gejala menyerupai penyakit “Kawasaki”.

Mangsa berusia 5 tahun itu antara 73 kanak-kanak di New York yang disahkan mengalami gelaja luar biasa.

Mangsa mengalami demam berpanjangan dan sering muntah.

Pihak berkuasa di AS memberi amaran kepada ibu bapa supaya berwaspada dengan gejala ini.

Gabenor New York, Andrew Cuomo mengesahkan Jabatan Kesihatan sedang menyiasat kematian kanak-kanak itu.

“Terdapat sekurang-kurangnya satu kematian disebabkan simptom tersebut dan mungkin memberi risiko kepada orang lain yang kini sedang dipantau.

“Ini mimpi ngeri bagi setiap ibu bapa apabila anak anda dijangkiti virus tersebut,” katanya.

Kes jarang berlaku dan mengancam nyawa kanak-kanak dikaitkan dengan pendedahan kepada Covid-19 pertama kali dilaporkan di Britain, Itali dan Sepanyol.

Namun doktor di AS mula melaporkan kluster kanak-kanak dengan gejala itu yang menyerang pelbagai organ termasuk merosakkan fungsi jantung dan melemahkan arteri jantung.

Penyakit Kawasaki adalah penyakit peradangan yang dapat menimbulkan komplikasi jangka panjang pada jantung.

Penyakit yang sering dialami oleh kanak-kanak di bawah usia 5 tahun ini awalnya menyerang mulut dan kulit.

Di Amerika Syarikat kini puluhan kanak-kanak mengalami penyakit Kawasaki yang menunjukkan simptom demam, ruam dan juga sakit perut.

Lazimnya, kanak-kanak akan mengalami demam dengan suhu tinggi yang dialami selama 3 hingga 4 hari dengan ruam seluruh badan termasuk tapak tangan dan juga kaki, lapor Ketua Rawatan Intensif Pediatrik Hospital New York, Dr, Steven Kernie.

Setakat ini, pihak berkuasa di New York melaporkan 73 kanak-kanak disyaki mengalami simptopm penyakit berkenaan termasuk seorang bayi berusia 6 bulan di California yang turut disahkan positif Covid-19.

Di United Kingdom pula beberapa kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit Kawasaki yang juga dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan Covid-19.

Bagaimanapun, penyakit yang jarang berlaku ini hanya melibatkan peratusan yang kecil, kata Dr. Steven.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.