
Dengar sahaja perkataan “ais krim” sudah pasti membuatkan sesiapa sahaja terliur apatah lagi bagi mereka yang sedang dahaga di saat musim panas ini.
Bohonglah jika ada mengatakan tidak menggemari langsung ais krim kerana sejak kecil kita sudah didedahkan dengan ais krim potong, ais krim Malaysia, ais kacang dan cendol.
Kemudian pada era ini barulah anda mula menemui kelazatan Cornetto, Vienetta dan pelbagai lagi ais krim lain yang lebih tinggi harganya.
Namun pernahkah anda terfikir siapa yang menemui cara menghasilkan ais krim.
Begitu juga kenapa ais krim yang menggabungkan perisa vanila, coklat dan strawberi dinamakan ais krim “Neapolitan”?
Walaupun sudah wujud beberapa usaha untuk menghasilkan ais krim dengan menggunakan salji yang dicampurkan dengan susu sejak era sebelum masihi lagi, namun ais krim yang ada sekarang dipercayai bermula dari China.
Semasa pemerintahan Maharaja Tang ketika era Dinasti Shang sekitar abad ke-7, masyarakat zaman tersebut menemui cara untuk menghasilkan ais krim berperisa madu.
Maharaja Tang mengarahkan pekerjanya yang hampir 100 orang bagi menghasilkan aiskrim, menggunakan gabungan ais, susu, tepung dan herba yang diambil daripada pokok kapur.
Adunan itu akan disebatikan sebelum madu dimasukkan sebagai perisa.
Penemuan teknik membekukan sesuatu larutan dalam bekas yang disejukkan menggunakan salji dan garam memudahkan penghasilan ais krim serupa, sebelum orang Arab memperkenalkan teknik penghasilan “sharbat”, mengadunkan sirap buah-buahan dengan ais serta susu dan gula yang memberikan rasa lazat yang kekal sehingga kini.
Selepas Empayar Islam menakluki Pulau Sicily di Eropah pada abad ke-8, orang Arab mula memperkenalkan teknik penghasilan “sharbat” kepada masyarakat Eropah seterusnya memperluaskan lagi populariti ais krim berperisa buah-buahan kepada dunia.
Persoalannya kenapa gabungan vanila, coklat dan strawberi digelar neapolitan?
Ais krim neapolitan merupakan antara perasa ais krim unik yang sangat mudah didapati di mana-mana sahaja.
Keunikannya terletak kepada gabungan perasa vanila, coklat dan strawberi yang terletak sebelah menyebelah tetapi tidak diadunkan sekali. Siapa punya idea nak buat ais krim sebegitu?
Bermula pada tahun 1880, berlaku migrasi besar-besaran orang Itali kira-kira 13 juta orang ke serata Eropah dan Amerika Syarikat, disebabkan oleh rasa bimbang masyarakat mereka kepada perubahan politik yang berlaku semasa proses Risorgimento iaitu usaha menyatukan negeri-negeri Itali di bawah satu pemerintahan pusat.
Salah satu kawasan yang paling terkesan ialah Naples, di mana mereka akan diubah menjadi hanya sebuah negeri sedangkan ketika itu Naples adalah negara mereka sendiri.
Disebabkan ketidakstabilan politik, masalah sosial seperti pengangguran dan wabak mula berlaku, menyebabkan orang Naples memilih untuk keluar secara sukarela mencari negara baru tidak mahu duduk di bawah rejim kerajaan baru akibat rasa kurang puas hati dengan keputusan yang diambil.
Orang Naples terkenal sebagai pengusaha sejenis manisan yang dinamakan sebagai spumoni, gabungan ais krim 3 perisa dalam satu hidangan.
Spumoni tidak terhad kepada vanila, strawberi dan coklat sahaja malahan spumoni sebenar mempunyai variasi yang sangat pelbagai.
Kehadiran mereka ke Amerika Syarikat membawa bersama resepi spumoni, mempopularkan ais krim unik gabungan mereka sehinggakan warga Amerika Syarikat merujuk ais krim itu sebagai “Neapolitan” yang mewakili tempat asal mereka, Naples.
Oleh kerana di Amerika Syarikat 3 perisa paling popular adalah vanila, coklat dan strawberi, permintaan terhadap spumoni yang menggabungkan ketiga perisa itu mula popular.
Maka bermulalah trend ais krim “Neapolitan” yang sehingga kini dikenali sebagai gabungan ais krim vanila, coklat dan strawberi dalam satu hidangan.
Populariti ais krim yang menular dalam masyarakat AS, membuatkan wujudnya “Hari Ais Krim Amerika Syarikat” melalui undang-undang khas Presiden pada 9 Julai 1984 oleh Presiden AS ketika itu, Ronald Reagan.
Dengan pengisytiharan itu, gabungan negeri dalam Amerika Syarikat bersetuju untuk menamakan bulan Julai tahun 1984 sebagai “Bulan Ais krim Nasional” sementara tarikh 15 Julai 1984 sebagai “Hari Ais krim Nasional.”
Dalam ucapan beliau sempena pengenalan undang-undang baru itu, Presiden Reagan menyeru agar semua pihak memberikan sokongan penuh kepada perayaan itu, sama-sama meraikannya dengan acara dan sambutan yang meriah.
Beliau juga mengingatkan orang ramai, ais krim merupakan makanan yang berkhasiat serta sedap dimakan.
Tradisi ini mula diikuti masyarakat negara luar yang mencintai ais krim.
Kini setiap tahun penggemar ais krim akan meraikan “Hari Ais krim Sedunia” pada setiap hari Ahad minggu ketiga, bulan Julai setiap tahun.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]