Sarawak benar sektor ekonomi dibuka semula mulai 12 Mei

Sarawak benar sektor ekonomi dibuka semula mulai 12 Mei

Pihak yang berhasrat membuka semula aktiviti ekonomi, perlu memaklumkannya kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing.

Mana-mana perniagaan yang dibuka semula mulai 12 Mei ini perlu mematuhi SOP operasi yang ditetapkan.
KUCHING:
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk membenarkan semua sektor ekonomi dibuka dan dibenarkan beroperasi bermula 12 Mei di seluruh Sarawak, kata pengerusinya Douglas Uggah Embas hari ini.

Beliau, yang juga timbalan ketua menteri I, berkata garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan telah disediakan dan sedang dimaklumkan kepada semua pihak terlibat yang melibatkan aktivi dibenarkan dan dilarang.

“Mana-mana pihak yang berhasrat untuk membuka semula aktiviti ekonomi, perlu memaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing.

“JPBN yakin arahan baru untuk membuka aktiviti sektor ekonomi akan memberi kelegaan kepada rakyat jelata yang selama ini telah terjejas punca pendapatan sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini hari ini.

Uggah berkata keputusan terbaru itu tidak bermakna kerajaan Sarawak mengabaikan aspek kesihatan, sebaliknya langkah itu diambil kerana mengambil kira aspek ekonomi demi kepentingan semua pihak.

“Pihak penguatkuasaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan yang dikeluarkan esok dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Berhubung isu yang tular di media sosial mengatakan bahawa semua sekatan jalan raya di Sarawak ditutup serta-merta bermula semalam serta perjalanan rentas daerah di Sarawak tidak memerlukan permit perjalanan daripada polis, Uggah berkata perkara itu adalah tidak benar.

“Untuk situasi di Sarawak, larangan pergerakan antara daerah masih kekal. Pihak polis masih mendirikan sekatan jalan raya di semua sempadan daerah dan orang ramai perlu memohon kebenaran polis untuk pergerakan antara daerah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.