
Beliau berkata, jumlah yang dipohon itu akan dikreditkan ke akaun pencarum secara pindahan dana elektronik bermula 4 hingga 18 Mei.
“Inisiatif i-Lestari KWSP yang melibatkan peruntukan sebanyak RM40 bilion akan menyediakan kecairan dalam ekonomi negara secara purata RM3.3 bilion sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Agregat kecairan ini diperlukan bukan saja bagi menolong rakyat mendapatkan pendapatan boleh guna, tetapi juga akan mewujudkan kecairan dalam pasaran yang diperlukan sektor peruncitan, wang bertukar tangan dan mewujudkan kesan berganda pada ekonomi negara.”
Rahim berkata, seperti diketahui sektor peruncitan teruk terjejas akibat impak pandemik Covid-19.
Katanya, darurat kesihatan yang tidak pernah berlaku dahulu menyebabkan aliran tunai di pasaran menguncup akibat ramai yang kehilangan sumber pendapatan dan berbilion ringgit pendapatan daripada pelancong luar negara susulan kemerosotan sektor perkhidmatan pelancongan.
Beliau berkata, ia memerlukan masa untuk membangunkan semula ekonomi kerana gelombang pandemik itu menjejaskan semua pihak di seluruh dunia dan diharapkan virus itu dapat dibendung dalam 6 bulan hingga setahun serta semua sektor dipulihkan semula.
Menerusi program i-Lestari, pencarum boleh mengeluarkan simpanan maksimum RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan dari Akaun 2 masing-masing.