‘Kerbau balar’ fasih berbahasa Melayu raih status FB ‘influencer’

‘Kerbau balar’ fasih berbahasa Melayu raih status FB ‘influencer’

Pesara AS itu mencuri tumpuan menerusi videonya menyanyikan lagu 'Negaraku' yang ditonton ratusan ribu kali, mendapat 3,500 komen dan lebih 1,000 permintaan menjadi rakan di Facebook.

Gambar Leon Muffett bersama pelajarnya di Ayer Hitam, Kedah pada 1969.
GEORGE TOWN:
Seorang pesara warga Amerika Syarikat mencuri tumpuan pengguna Facebook di Malaysia baru-baru ini menerusi nyanyian lagu “Negaraku” dengan fasihnya.

Leon Muffett, 73, pernah bertugas sebagai guru pelatih di sekolah kerajaan di pedalaman Kedah dan Terengganu selama 7 tahun.

Sepanjang tempoh itu, sukarelawan Peace Corps terbabit jatuh cinta dengan Malaysia serta rakyatnya, dan beliau tidak pernah melupakan pelajarnya.

Lima puluh tahun kemudian, kebanyakan pelajar dan bekas rakan sekerja masih mengingati dirinya.

Leon Muffett (kanan, duduk) bersama rakannya ketika berkelah di Terengganu.

Seperti nyanyiannya, menerusi rakaman video di rumahnya di Washington yang dimuat naik ke Facebooknya, Muffett dengan petah memberikan kata-kata semangat kepada rakyat Malaysia supaya tabah mengharungi perintah kawalan pergerakan ketika penularan Covid-19.

Video itu kini ditonton ratusan ribu kali, beliau mendapat 3,500 komen dan lebih 1,000 permintaan menjadi rakan. Sambutan hangat itu menyebabkan Muffett meraih status “Facebook Influencer” dalam sekelip mata.

Muffett, yang turut dikenali sebagai Lon, mempelajari bahasa Melayu ketika bertugas sebagai guru buat pertama kali di SMK Ayer Hitam di pedalaman Kedah antara 1969 dan 1972, pada usia awal 20-an.

Katanya, beliau bertekad mempelajari bahasa itu secara serius kerana mahu menjadikan masanya di Malaysia sebagai pengalaman yang dapat mengubah hidupnya.

Leon Muffett bergambar bersama ahli kelab bola tampar dalam majalah sekolah SMK Ayer Hitam pada 1971.

“Saya belajar bahasa Melayu ketika pergi berkhemah, berkelah, mendaki dan semua jenis aktiviti selepas sekolah dengan pelajar saya,” katanya kepada FMT.

Bekas pelajarnya, Che Halim Idris mengimbau perjalanan berbasikal bersama Muffett lebih 50 tahun lalu.

Beliau bertanya Muffett menerusi Facebooknya, “Adakah cikgu ingat waktu kita berbasikal ke Pantai Merdeka?”

Muffett membalasnya dengan berkata, beliau masih ingat kenangan itu.

Beliau begitu asyik dengan budaya tempatan sehingga lama-kelamaan beliau mampu bertutur dalam loghat Melayu Kedah.

Di Ayer Hitam, penduduk tempatan menggelarnya “kerbau balar”, yang bermaksud kerbau albino, nama timangan yang masih dibanggakannya.

Ada sebuah keluarga di kampung itu mahu Muffett mengahwini anak mereka, tetapi beliau menolaknya dengan sopan kerana terlalu muda ketika itu.

Guru di SMK Ayer Hitam, Asrul Salleh memberitahu FMT, “Alangkah baiknya jika beliau dapat kembali ke Malaysia untuk berjumpa kami. Saya yakin semua orang di Ayer Hitam akan gembira!”

Sayangnya Muffett tidak dapat datang ke negara ini disebabkan keadaan sekarang.

Buat masa ini, seperti dalam rakaman videonya ketika bercakap dengan rakyat Malaysia: “Anda mungkin jauh di mata, tapi sentiasa dekat di hati. Saya rindu kamu semua dan sampai bertemu lagi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.