Dr M, Anwar ikrar tidak putus asa pertahan suara, mandat rakyat

Dr M, Anwar ikrar tidak putus asa pertahan suara, mandat rakyat

Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim berkata, semangat perjuangan mereka masih marak walaupun sudah berusia.

Dalam kenyataan bersama sempena ulang tahun ke-2 kemenangan PH dalam PRU 14, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim berkata, PH tidak mengiktiraf kerajaan Perikatan Nasional sejak hari pertama ia tertubuh kerana tidak mendapat mandat rakyat.
PETALING JAYA:
Sempena sambutan ulang tahun kedua kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, mereka tidak berputus asa untuk terus membawa suara rakyat.

Dalam satu kenyataan bersama, Mahathir dan Anwar berkata, mereka tidak mengiktiraf kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berdiri tanpa mandat rakyat, dan tidak diperolehi secara sah menurut kertas undi dalam pilihan raya.

Kedua-dua tokoh politik itu berkata mereka tidak berputus asa dalam mempertahankan mandat rakyat, selain menambah bahawa semangat perjuangan mereka masih marak walaupun sudah berusia.

“Kami tidak mahu mengkhianati rakyat yang menghabiskan masa berjam-jam untuk beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara.

“Dua tahun lepas, rakyat daripada berbagai agama dan bangsa telah membantu usaha kami dengan memberi derma dan sumbangan, suara dan cadangan, harapan dan semangat demi melihat perubahan yang lebih baik buat negara tercinta.

“9 Mei 2018 bukanlah satu peristiwa untuk memperingati penyatuan Mahathir atau Anwar. Ia adalah peristiwa yang jelas mengangkat nasib dan masa hadapan rakyat serta melawan ketidakadilan dalam negara.”

Dua pemimpin itu berkata, mereka tidak bersedia menggadai moral dan etika dengan menyokong kerajaan hari ini selain menyeru rakyat supaya tidak melupakan peristiwa yang berlaku pada 9 Mei 2 tahun lalu.

“Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat kepada pihak yang sepatutnya,” tambah mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.