
Ketua Pemuda Upko Felix Joseph Saang mempersoalkan kenapa isu pelarian Rohingya lebih menarik perhatian umum berbanding masalah migran di negeri itu, yang menurutnya, “menjadi semakin buruk sejak sekian lama”.
Saang berkata, Pemuda Upko tidak berhasrat menyentuh isu pelarian Rohingya untuk kepentingan politik, tetapi percaya masalah pendatang tanpa izin di Sabah tidak boleh diabaikan.

Beliau berkata, sayap Pemuda itu bingung berhubung kempen yang dimulakan oleh Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela) di semenanjung semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“NGO itu mahu kerajaan persekutuan mengeluarkan kad pengenalan baru sebagai satu langkah membendung aktiviti sindiket yang menjual MyKad, iaitu isu yang meningkatkan jumlah pendatang tanpa izin.
“Jelas Sabah paling terkesan dalam perkara ini,” katanya selepas mempengerusikan satu acara Pemuda Upko di sini, hari ini.
Saang berkata, Upko merupakan parti politik pertama di Sabah yang mencadangkan supaya kad pengenalan sedia ada ditarik balik dan digantikan dengan kad baru.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah mengugut Upko supaya meninggalkan gabungan politik itu kerana kesungguhan kami dalam mengatasi isu ini.
“Kami berharap parti politik di Sabah yang kini menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan bertindak lebih berani, tegas dan lantang.”
Upko akan terus membangkitkan isu ini sehingga ia berjaya diatasi, katanya.
Saang berkata, walaupun mereka yakin kerajaan Sabah komited untuk menyelesaikan perkara itu, namun kuasa untuk melakukan sesuatu sebenarnya terletak di tangan kerajaan persekutuan.
“Kedua-dua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berada di bawah kerajaan persekutuan. Kad pengenalan hanya boleh dikeluarkan oleh JPN.
“Kerajaan Sabah tidak mempunyai kuasa berhubung isu ini. Justeru ia tidak boleh mengeluarkan kad pengenalan atau apa-apa juga bentuk dokumen kewarganegaraan,” katanya.