Wanita PKR desak parti tarik balik tindakan disiplin terhadap Haniza, 600 ahli

Wanita PKR desak parti tarik balik tindakan disiplin terhadap Haniza, 600 ahli

Tindakan terhadap Haniza Talha dan beberapa lagi pimpinan Wanita jelas menunjukkan PKR tidak menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

PKR mengeluarkan senarai mereka yang dikenakan tindakan disiplin termasuk individu pro Azmin Ali.
PETALING JAYA:
Wanita PKR membantah keras keputusan pucuk pimpinan parti itu mengenakan tindakan disiplin terhadap lebih 600 ahli termasuk menggantung keahlian ketuanya, Haniza Talha.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Daroyah Alwi berkata, tindakan terhadap Haniza yang juga Adun Lembah Jaya serta beberapa lagi pimpinan Wanita jelas menunjukkan parti itu tidak menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

“Saya amat kesal dan kecewa dengan amalan PKR dalam melaksanakan tindakan disiplin terhadap anggota-anggota parti yang dianggapkan sebagai pengkhianat dan melanggar tata etika dan disiplin parti.

“Ini menggambarkan seolah-olah parti ini tidak menghargai jasa dan bakti serta pengorbanan pimpinan Wanita kepada parti sejak sekian lama.

“Ini adalah kali pertama dalam sejarah ketua Wanita sesebuah parti dilucutkan jawatannya tanpa sebab-sebab dan bukti yang kukuh,” katanya.

Beliau turut mendakwa Majlis Pimpinan Pusat (MPP) melanggar prinsip demokrasi apabila sanggup melindungi mereka yang dilantik Presiden Anwar Ibrahim.

“Seramai 348 anggota-anggota parti dipecat dan 285 anggota-anggota digantung keahlian menggunakan peruntukan perlembagaan Fasal 9.1 dan 41.6. Kedua-dua fasal 9.1 dan 41.6 memberi kuasa mutlak kepada MPP melucutkan ataupun menggantung keahlian seseorang anggota.

“Walaupun MPP yang terdiri daripada 20 pemimpin yang dipilih oleh anggota-anggota secara undi terus dalam pemilihan parti, namun MPP secara jelas melanggar prinsip demokrasi demi melindungi kuasa yang terletak di tangan beberapa pemimpin lantikan presiden parti,” kata Adun Sementa itu.

Beliau yang juga timbalan speaker DUN Selangor berkata, dakwaan pimpinan PKR bahawa keputusan pemecatan dan penggantungan dibuat Lembaga Disiplin tidak boleh diterima, memandangkan setiap keputusan dipengaruhi MPP yang membuat kelulusan.

“Pihak MPP seharusnya bertindak secara lebih telus dan rasional dalam membuat keputusan pemecatan atau penggantungan keahlian anggota parti.

“Saya mewakili anggota-anggota PKR yang tidak bersetuju dengan tindakan keras parti keatas mereka yang tidak bersalah dan memohon agar ketidakadilan ini dihentikan dengan serta-merta.

“Tarik balik penggantungan dan pelucutan jawatan ketua Wanita pusat dan lain-lain anggota yang tidak bersalah supaya parti kita masih berkesempatan untuk diperbaiki semula,” katanya.

Semalam PKR mengeluarkan senarai mereka yang dikenakan tindakan disiplin termasuk individu pro bekas timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali.

6 April lalu PKR menggantung keahlian Haniza yang juga exco Selangor kerana menghadiri pertemuan dengan Azmin dan Zuraida Kamaruddin pada Februari lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.