
Ketua Menteri Shafie Apdal berkata, langkah itu bagaimanapun akan dijalankan secara berperingkat bermula hari ini berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam satu kenyataan, Shafie berkata, antara sektor yang dibenarkan beroperasi semula adalah pertanian dan industri makanan, pembuatan dan perniagaan melibatkan sokongan logistik seperti pengangkutan darat, jeti dan pelabuhan.
“Kerajaan negeri juga bersetuju membenarkan kilang dan ladang kelapa sawit di Lahad Datu, Kunak dan Kinabatangan beroperasi semula dengan syarat mereka disahkan bebas Covid-19 oleh Jabatan Kesihatan Sabah.
“Kami mahu menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat adalah keutamaan kerajaan,” katanya.
Semalam Shafie berkata, Sabah akan terus mematuhi PKP fasa ke-4 sehingga 12 Mei seperti dijadualkan, dan kerajaan akan memaklumkan sektor yang dibenar beroperasi semula pada tarikh itu.