Sengketa lama, perpecahan dalaman halang usaha PH kembali berkuasa

Sengketa lama, perpecahan dalaman halang usaha PH kembali berkuasa

Cubaan mengumpan PPBM kembali ke PH terbantut ketika Umno, PAS merasakan lebih baik ia kekal dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Cubaan Pakatan Harapan untuk kembali berkuasa terjejas dengan perpecahan antara kumpulan yang setia kepada Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Pakatan Harapan masih berpecah-belah selepas 2 bulan kerajaannya tumbang, walaupun ketika gabungan itu cuba mengumpan PPBM kembali ke pangkuannya dengan harapan untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional.

Perpecahan ini masih bercirikan 2 personaliti utama yang perseteruan lama “enggan reda”, memetik orang dalaman dengan akses kepada pemimpin tertinggi.

“Sekali lagi, di tengah-tengah hal ini adalah siapa akan jadi ketua, Anwar atau Mahathir,” kata sumber itu kepada FMT.

Difahamkan gabungan itu, sekarang terdiri daripada parti pengasas iaitu PKR, DAP, dan Amanah, baru-baru ini mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Difahamkan pemimpin gabungan itu menamakan ketua PKR itu dalam suratnya kepada speaker Dewan Rakyat.

Yayasan Kepimpinan Perdana, pangkalan Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, menyaksikan pergerakan pemimpin PH ketika mereka membincangkan cara untuk kembali berkuasa.

Tetapi langkah itu tidak disenangi kumpulan yang bersepakat dengan Dr Mahathir Mohamad, yang bertegas mahu bekas perdana menteri itu kembali ke jawatan tertinggi.

Perkembangan ini ketika politik bersiap sedia untuk kembali mencengkam kehidupan orang ramai susulan kelonggaran perintah kawalan pergerakan untuk mengawal pandemik Covid-19.

PKP berkuatkuasa pada 18 Mac, kurang sebulan selepas kerajaan PH tumbang kerana pembelotan dan pergaduhan dalaman.

Tetapi FMT difahamkan pemimpin PH melipat gandakan usaha untuk kembali berkuasa, dengan beberapa orang dilihat keluar masuk pangkalan Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya minggu ini.

Syed Saddiq terpinggir

Syed Saddiq

Antara mereka yang aktif mengusahakan perkara itu adalah Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, antara sebilangan pemimpin parti yang kekal bersama Mahathir selepas beliau enggan berganding dengan Umno untuk membentuk kerajaan PN.

Sumber memberitahu FMT antara hasil daripada mesyuarat di Putrajaya adalah kenyataan yang dikeluarkan semalam menggunakan kepala surat Pemuda PPBM, yang menggesa Presiden Muhyiddin Yassin kembali ke PH.

Hampir serta-merta kenyataan itu mengundang penafian daripada kebanyakan ketua Pemuda negeri dan ahli exco.

FMT diberitahu sekurang-kurangnya 10 daripada 14 ketua Pemuda negeri nafi menyokong seruan pemimpin Pemuda pro-PH, Syed Saddiq menyeru PPBM kembali kepada “keluarga” itu.

“Dalam hanya 3 jam selepas kenyataan tentang usul membawa PPBM kembali ke PH dikeluarkan kepada media, hampir tiada penyokong.

“Menjelang senja, daripada 34 ahli jawatankuasa, sekurang-kurangnya 14, termasuk 10 ketua negeri, menolak apa yang dikatakan usul itu,” kata sumber itu.

Difahamkan lebih ramai ahli exco akan menjauhi kenyataan Pemuda PPBM itu.

Keputusan Muhyiddin untuk membawa PPBM keluar daripada PH di kemuncak krisis politik pada Februari mempercepatkan kejatuhan kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan.

Walaupun sebahagian besar kepimpinan PPBM bersama Muhyiddin, kira-kira 6 ahli Parlimen kekal bersama Mahathir.

Rancangan Mukhriz

Mukhriz Mahathir

Idea supaya PPBM “kembali ke PH” mula dicadangkan secara terbuka oleh Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir, yang sebahagian daripada kumpulan yang bersepakat dengan bapanya.

“Antara rancangan itu adalah menggalakkan ahli Parlimen kerajaan yang sebenarnya bukan peminat Muhyiddin berpaling arah dan membina momentum terhadap Muhyiddin,” kata seorang bekas Umno yang rapat dengan watak-watak utama PPBM.

Katanya, “2 atau 3” pemimpin Umno tidak gembira kerana diketepikan pentadbiran Muhyiddin.

Aduan utama adalah parti Melayu itu, dengan menjadi sebahagian PN, “mengambil peranan kurang penting” berbanding PPBM walaupun ia membentuk sebahagian besar ahli Parlimen.

“Mereka mengatakan status mereka dalam PN tidak menepati Muafakat Nasional,” tambahnya, merujuk kepada piagam yang dimeterai Umno dan PAS ketika mereka menjadi pembangkang.

Piagam itu ditandatangani tahun lepas untuk membentuk kuasa politik Melayu yang kuat.

Seorang pegawai kepada seorang pemimpin kanan PAS, yang tidak mahu dinamakan, memberitahu FMT parti Islam itu mahu kekal bersama PN, dan menambah “piagam itu untuk tujuan lain”.

“PAS dalam kedudukan terbaik. Ia dapat apa yang ia mahu, sebuah kerajaan persekutuan yang disertainya. Tetapi paling penting, adalah penyingkiran daripada Putrajaya 2 musuh utamanya,” katanya.

Diminta menamakan 2 musuh itu, jawabnya: “DAP dan Anwar”.

Pendirian itu turut disuarakan oleh Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

“Tidak pernah timbul Umno mahu meninggalkan PN kerana rata-rata ahli dan rakyat keseluruhannya amat bersyukur dengan pembentukan kerajaan ini yang berjaya menyelamatkan negara daripada krisis politik yang meruncing sekaligus membebaskan negara daripada parti chauvinis dan rasis DAP dan kerakusan PKR yang hanya memfokuskan perjuangan sejak dari awal penubuhannya untuk menaikkan presidennya sebagai perdana menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.