Saya masih hidup, kata penyampai RTM selepas kematian rakan nama sama

Saya masih hidup, kata penyampai RTM selepas kematian rakan nama sama

Harjit Singh Hullon memaklumkan beliau masih hidup dan sihat selepas orang ramai keliru dirinya dengan bekas rakan sekerja, Harjit Singh Bhullar.

Harjit Singh Hullon.
PETALING JAYA:
Penyampai berita veteran RTM, Harjit Singh Hullon hari ini memaklumkan beliau masih hidup dan dalam keadaan sihat selepas kekeliruan identiti mengundang ucapan takziah daripada orang ramai yang percaya beliau sudah meninggal dunia.

Beliau berkata orang ramai keliru dirnya dengan Harjit Singh Bhullar, yang juga rakan sekerja di RTM semasa 60-an.

Bhullar, bekas penyampai sukan Radio Malaysia, meninggal dunia di Perth, Australia semalam, pada usia 80-an.

Harjit, 67, berkata sejak itu beliau terima banyak ucapan takziah, termasuk ucapan bersama gambarnya.

“Saya masih sihat dan kuat,” katanya kepada FMT.

“Gambar yang dilampirkan bersama berita kematian Bhullar tidak tepat.”

Harjit dikenali sebagai seorang penyampai Berita Dunia Jam 10. Beliau memulakan kerjaya sebagai penyampai berita pada 1971, membacakan laporan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di televisyen.

Beliau berkata Bhullar berhijrah ke Perth pada 90-an bersama isteri, Doris Chua, seorang lagi rakan sekerja di Radio Malaysia. Pasangan itu ada 2 anak lelaki dan 1 anak perempuan.

“Selepas berkhidmat di radio, Bhullar menceburi televisyen sebagai seorang penerbit pada 1970-an. Takziah saya ucapkan kepada isteri dan anak-anaknya atas kehilangan mereka,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.