Puteri Arab Saudi ‘diculik’ dikhuatiri dijangkiti virus Covid-19 di penjara

Puteri Arab Saudi ‘diculik’ dikhuatiri dijangkiti virus Covid-19 di penjara

Rayuan Puteri Basmah tidak dijawab pemerintah Arab Saudi selepas setahun disumbat ke dalam penjara tanpa pertuduhan.

Puteri Basmah dilihat sebagai penyokong hak wanita dan raja berperlembagaan. (Gambar AFP)
LONDON:
Setahun selepas disumbat ke dalam penjara tanpa pertuduhan, rayuannya yang tidak dijawab oleh pemerintah Arab Saudi dan susulan kebimbangan berkait penularan koronavirus di sebalik jeriji besi, seorang puteri terkemuka melakukan perkara yang tidak dapat difikirkan – dan disebarkan kepada umum.

Puteri Basmah Saud, seorang anggota keluarga diraja berusia 56 tahun yang sudah lama dilihat sebagai penyokong hak wanita dan negara raja berperlembagaan, hilang daripada pandangan awam secara misteri pada Mac tahun lalu.

Bulan lalu, akaun Twitternya kembali “hidup” dengan surat daripada puteri itu yang mendakwa “diculik” dan “dihumban ke dalam penjara” bersama puterinya berusia 28 tahun, Suhoud al-Sharif, dan merayu bantuan Raja Salman dan putera mahkota Mohammed bin Salman.

Surat itu, adalah rayuan umum yang jarang dilakukan oleh anggota keluarga diraja, menyuarakan kebimbangan puteri itu mengenai “kesihatannya yang semakin merosot” di penjara Al-Ha’ir di Riyadh – yang terkenal dengan banduan pengganas dan tahanan politik – boleh mengakibatkan kematiannya.

Hanya beberapa jam kemudian, ciapan terbabit dipadamkan.

Dua sumber yang rapat dengan keluarga puteri itu memberitahu AFP akaun Twitter itu digodam oleh “seseorang di Arab Saudi”.

“Sejak ciapan itu, tidak ada lagi hubungan; tidak ada tanda-tanda puteri atau Suhoud,” kata salah seorang sumber.

“Tidak ada lagi panggilan telefon, tidak ada apa-apa.”

Kebimbangan keluarga berkenaan semakin dikuatkan dengan kemungkinan penularan Covid-19 di dalam Al-Ha’ir.

Dibenarkan membuat satu panggilan telefon mingguan sebelum ciapan itu, Suhoud memberitahu keluarganya bahawa pihak berkuasa penjara membunyikan amaran bahawa kes koronavirus dikesan di dalam pusat itu.

Seorang pegawai penjara secara berasingan mengesahkan kepada keluarga itu bahawa terdapat banyak kes Covid-19 di Al-Ha’ir, kata sumber terbabit.

Pihak berkuasa di Arab Saudi, yang melaporkan lebih 25,000 jangkitan koronavirus setakat ini tidak memberi sebarang respons terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.

Kerajaan tidak bercakap secara terbuka mengenai penahanan puteri itu.

Pergolakan dalam keluarga diraja

Kes itu, yang disifatkan pemerhati sebagai penindasan di bawah pemerintahan de facto Putera Mohammed, adalah tanda pergolakan terbaru dalam keluarga diraja setelah penahanan adik dan anak saudara Raja Salman pada Mac tahun ini.

Anak bongsu Almarhum Raja Saud Abdulaziz, Puteri Basmah bersiap untuk pergi ke Switzerland dengan jet peribadi pada Mac 2019 untuk mendapatkan rawatan perubatan ketika sekumpulan lelaki yang mengaku bekerja untuk raja itu muncul di penthousenya di Jeddah.

Kumpulan lelaki itu berkata mereka datang untuk mengiringi puteri berkenaan untuk satu pertemuan peribadi dengan raja, menurut sumber terbabit. Enggan membiarkan ibunya pergi sendiri, Suhoud menemani Puteri Basmah.

Mereka dibawa terus ke Al-Ha’ir.

Rakaman keselamatan perjumpaan yang disediakan oleh sumber terbabit menunjukkan kumpulan lelaki berkenaan – tegap dan bersenjatakan pistol – sebelum mereka bertindak menutup kamera pengawasan dengan sehelai kain.

Dalam keterangan bertulis kepada PBB, yang dilihat oleh AFP, keluarga terbabit berkata, penahanan Puteri Basmah mungkin disebabkan oleh “kritikan lantang mengenai penyalahgunaan di negara kami” serta pertanyaan yang ditimbul mengenai kekayaan dimiliki Raja Saud yang dibekukan oleh negara itu.

Mereka bimbang penahanan sewenang-wenangnya tanpa tuduhan jenayah adalah usaha untuk “menyingkirkan puter itui”, kata dokumen itu.

Puteri Basmah juga dianggap sebagai sekutu bekas putera mahkota Mohammed bin Nayef, yang diganti sebagai pewaris takhta oleh Putera Mohammed pada 2017, tambah keterangan tertulis itu.

Putera Nayef dan Putera Ahmed – adik raja – ditahan dalam pembersihan diraja berasingan pada Mac.

Kerajaan masih belum memberi komen rasmi mengenai tindakan keras itu, yang disifatkan pemerhati sebagai usaha untuk menghentikan perbezaan pendapat dan memastikan kesetiaan mutlak semua peringkat dalam kerabat di raja kepada Putera Mohammed.

Puteri Basmah mengalami banyak masalah kesihatan termasuk osteoporosis dan masalah gastrousus yang teruk, menurut rekod perubatannya yang dilihat oleh AFP.

Sumber berkata bahawa Puteri Basmah dinafikan hak untuk mendapatkan rawatan perubatan di penjara.

Penahanannya di penjara terkenal itu tidak pernah terjadi sebelum ini di Arab Saudi, di mana anggota keluarga diraja biasanya ditahan di rumah atau ditahan di vila atau hotel mewah.

Keluarganya mengemukakan rayuan baru untuk pembebasannya pada bulan suci Ramadan, bermula lewat April.

Tetapi masalahnya mungkin semakin sukar setelah rayuan Twitternya – tindakan yang luar biasa berani oleh seseorang daripada keluarga diraja yang besar, dan terdiri daripada ribuan anggota.

Permintaan peribadi – bukan petisyen awam – dianggap sebagai kaedah paling selamat untuk menavigasi sistem keadilan pemerintahan beraja mutlak.

Pihak berkuasa Arab Saudi sangat sensitif terhadap kritikan di khalayak ramai.

Namun rayuannya dibuat setelah surat peribadi memuatkan rayuan yang sama kepada raja dan putera mahkota, yang dilihat oleh AFP, tidak dijawab sejak setahun lalu.

“Tidak ada respons sama sekali, senyap sama sekali,” kata salah satu sumber.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.