
Beliau mengimbas pengalamannya sendiri menempuh lautan bergelora untuk melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.
Bercakap dalam forum atas talian anjuran People’s Vision Project (PoWR), Sharifah Shakirah, kini 27 berkata, beliau terhutang budi kepada Malaysia kerana memberikan perlindungan kepadanya.
Beliau berkata, ramai etnik Rohingya mahu pulang ke tanah air mereka.
“Jangan salahkan kami. Bantu kami. Kami tidak ada pilihan selain datang ke sini,” katanya dalam forum bertajuk “What’s up with the Rohingya?” yang diadakan susulan peningkatan komen xenofobia menyasarkan komuniti pelarian di beberapa tempat di Lembah Klang dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Sharifah berusia 5 tahun apabila jiran menyerahkannya kepada penyeludup manusia untuk di bawa ke Malaysia. Ayah beliau bekerja di Malaysia ketika itu.
Ia berlaku pada akhir 1990-an, sewaktu memuncaknya serangan ganas ke atas perkampungan etnik Rohingya yang beragama Islam oleh kumpulan sami ekstremis dengan sokongan junta Myanmar.
Junta negara itu tidak mengiktiraf komuniti Rohingya sebagai warganegara. Dasar yang dikekalkan oleh Yangon sehingga sekarang.
Hampir 1 juta orang Rohingya, yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai minoriti paling teraniaya di dunia, mencari perlindungan di negara Asia Tenggara.
Sharifah mengimbau pengalamannya menaiki bot kecil yang sarat dengan manusia. Beliau ditempatkan bersama-sama kanak-kanak lain di bahagian bawah bot.
Beberapa hari kemudian, mereka diberitahu telah sampai di Malaysia.
“Saya fikir ia berakhir di situ, tetapi lebih banyak igauan yang menanti,” katanya.
Selama beberapa hari mereka meredah hutan di Myanmar dan Thailand. Pada ketika lain, mereka menggadai nyawa dengan bersembunyi daripada pihak berkuasa.
“Kami dimasukkan ke dalam but kereta. Bertindih-tindih, seorang di atas yang lain.”
Akibatnya kata Sharifah, ramai yang menemui ajal.
Di Malaysia, beliau disatukan kembali dengan ayahnya. Tiga tahun kemudian, ibunya, yang dipenjarakan oleh junta Myanmar, menyertai mereka.
Beliau tidak mempunyai kawan dalam kalangan orang tempatan, dan kerap berdepan sindiran orang.
“Saya mahu merangkak balik ke Myanmar,” katanya.
Kini tinggal di AS, Sharifah menganggap dirinya lebih bernasib baik berbanding pelarian lain.
Katanya beliau sedih dengan dakwaan bahawa orang Rohingya “mencuri” pekerjaan orang tempatan atau menuntut kerakyatan.
“Kami mencari perlindungan di Malaysia. Tidak mudah menjadi pelarian, apatah lagi Rohingya. Ia sangat menyakitkan,” katanya dengan linangan air mata.
Seorang lagi panelis Lilianne Fan, mewakili kumpulan kemanusiaan dari Indonesia, Yayasan Geutanyoe berkata, kerajaan harus membenarkan komuniti itu bekerja dalam sektor tertentu.
“Mereka tidak mahu meminta sedekah dan mahu menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Fan bersetuju bahawa negara Asean harus memberi tekanan ke atas Myanmar supaya mengembalikan hak etnik Rohingya.
“Mereka tidak meminta kerakyatan di Malaysia, tetapi di Myanmar. Mereka mahu pulang,” katanya.
Pekerja kemanusiaan tempatan Tini Zainudin daripada Yayasan Chow Kit berkata, komen kebencian oleh rakyat Malaysia baru-baru ini memberi kesan ke atas kanak-kanak Rphingya yang terdedah kepada media sosial.
“Mereka berkata ia melukakan.”
Beliau juga berkata, pihak yang menghina pelarian tidak menyedari tentang latar belakang yang membawa mereka ke negara ini.