
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, aktiviti yang tidak lagi disekat di bawah PKPB akan dijalankan “mengikut cara yang tidak akan membahayakan perlindungan kesihatan awam”.
“Kita akan kaji semua SOP (yang digariskan oleh kerajaan persekutuan), tetapi hanya akan mengguna pakai yang sesuai dengan negeri,” kata pengerusi jawatankuasa itu, Douglas Uggah Embas pada taklimat media hariannya di sini.
Katanya, walaupun kerajaan negeri sedar mengenai kesan ekonomi berikutan pandemik Covi9d-19, namun perhatian utamanya ialah kesihatan awam.
Uggah berkata, menteri negeri yang bertanggungjawab ke atas kesihatan awam boleh mengeluarkan perintah bagi mengawal selia pergerakan orang ramai di kawasan dijangkiti, selain mengambil langkah bagi menghalang penularan wabak tersebut.
“Kuasa ini ditetapkan di bawah Seksyen 15 Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1998,” katanya selain menambah bahawa perkara seperti pengeluaran lesen dan permit perniagaan berada di bawah kuasa negeri.
Ketika ditanya sama ada Sarawak dirundingi berhubung rancangan melonggarkan syarat ke atas perniagaan di bawah PKPB, Uggah berkata, “memang ada mesyuarat dihadiri pemimpin negeri, termasuk ketua menteri, tetapi pada waktu itu SOP kerajaan persekutuan belum siap.
“Bagaimanapun perdana menteri telah memberi taklimat mengenai langkah ke depan dan ia merupakan sebahagian daripada (proses) rundingan.
“SOP hanya diedarkan kemudian. Oleh sebab itu kami sedang mengkajinya.”
Beliau berkata, pihak berkuasa akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa berkaitan langkah pembukaan semula aktiviti ekonomi di negeri itu secara berperingkat.
Uggah juga berkata, kerajaan negeri akan menyediakan SOP untuk sambutan Gawai dan Hari Raya akan datang.
Dalam pada aitu, 3 orang disahkan positif Covid-19 susulan operasi pengesanan kes aktif yang dijalankan di Taman Desa Ilmu dan Taman Unigarden di Kota Samarahan yang berakhir Ahad. Mereka kini dirawat di Hospital Besar Sarawak.
Sarawak juga merekodkan 2 kes baru hari ini, masing-masing di Kuching dan Kota Samarahan.