KKM kekal pantau kawasan tamat PKPD

KKM kekal pantau kawasan tamat PKPD

Ia selepas kerajaan mengumumkan PKPD Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan kawalan sekitar Jalan Masjid India tamat semalam.

Kerajaan menamatkan PKPD ke atas Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan kawalan sekitar Jalan Masjid India.
PUTRAJAYA:
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun kawasan Perintah Kawalan Pergerakan diPerketatkan (PKPD) telah tamat, Kementerian Kesihatan (KKM) tetap akan memantau kawasan itu.

Beliau berkata KKM akan memantau semua kawasan dan bukan kawasan PKPD sahaja.

“Walaupun PKPD ditamatkan tetapi kita masih pantau kawasan tersebut.

“Tidak semestinya PKPD baru pantau,” katanya pada sidang media hariannya ketika ditanya mengenai pengumuman kerajaan menghentikan beberapa kawasan PKPD semalam.

Kerajaan hari ini mengumumkan PKPD ke atas Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan kawalan sekitar Jalan Masjid India tamat semalam.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob semalam berkata kawalan ketat ke atas pusat tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor juga ditamatkan.

“Bagi PKPD Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, Parcel A dan B yang meliputi Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur serta Pasar Borong Kuala Lumpur akan tamat pada hari ini,” katanya.

Kawalan ketat bagi Parcel C, D, E1, E2, E3 dan F PKPD Pusat Bandar Utara dilanjutkan sehingga 12 Mei.

PKPD dikuatkuasakan di Menara City One sejak 31 Mac, melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan.

Selangor Mansion dan Malayan Mansion pula dikawal ketat sejak 7 April melibatkan 1,850 penghuni.

Kawalan ketat di Sungai Lui, yang melibatkan 7 penempatan, ditarik balik pada 14 April kecuali pusat tahfiz dan sebuah rumah.

PKPD di Pusat Bandar Utara pula dikuatkuasakan sejak 20 April.

Pasar Borong Kuala Lumpur antara tumpuan utama untuk barangan mentah di ibu negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.